HomeUtamaElak buah sawit bertaburan, tiga kenderaan kemalangan

Elak buah sawit bertaburan, tiga kenderaan kemalangan

Read Time:1 Minute, 26 Second

SEMPORNA: Tujuh mangsa cedera, termasuk seorang parah, selepas tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan ketika dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di atas jalan di Simpang 4 Kalumpang, Jalan Semporna-Tawau, pagi tadi (29 Sep).

Kemalangan pada jam 9.52 pagi itu membabitkan sebuah Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Toyota Avanza.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas muatan buah kelapa sawit yang dibawa sebuah lori terjatuh dan bertaburan di atas jalan.

“Ketiga-tiga kenderaan berkenaan dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Kesemua kenderaan termasuk lori yang membawa muatan buah kelapa sawit itu sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuh mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan.

Pemandu Isuzu D-Max, seorang lelaki, tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang lelaki yang menaiki Toyota Hilux mengalami kecederaan ringan. Pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan.

Daripada empat mangsa perempuan, tiga mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi mengalami masalah jantung.

Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan awal kepada pemandu Isuzu D-Max sebelum membawanya ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.

Pasukan bomba turut membantu membawa mangsa perempuan yang mengalami masalah jantung, iaitu penumpang Toyota Avanza, ke ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM dan EMRS Semporna.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan sisa minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca di atas permukaan jalan menggunakan hos reel dan foam.

Operasi terkawal pada jam 12.18 tengah hari dan ditamatkan pada jam 12.36 tengah hari selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.

RELATED ARTICLES
Utama

Jawatankuasa khas perlu diwujudkan kaji penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular