SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Zon Sandakan menahan sebuah bot tunda yang membawa minyak diesel tanpa dokumen yang sah di perairan Sandakan pada awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot tunda berkenaan dikesan oleh pasukan operasi ketika sedang bergerak di perairan Sandakan sebelum diberhentikan untuk pemeriksaan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan membawa kira-kira 10,000 liter minyak diesel yang dipercayai tidak mempunyai dokumen atau kebenaran yang sah.

“Dua lelaki tempatan berusia 36 dan 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau berkata, keseluruhan 10,000 liter minyak diesel bersama bot tunda berkenaan yang dianggarkan bernilai RM552,000 telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barangan kawalan berjadual, iaitu kira-kira 10,000 liter minyak diesel tanpa kebenaran.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan insurans Perlindungan dan Indemniti (P&I Insurance), selain jumlah kru yang didapati tidak mencukupi seperti ditetapkan dalam lesen.
Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan, khususnya minyak diesel bersubsidi.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan serta bekalan barangan berkenaan kepada masyarakat terus terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.



