KUNAK: Sebanyak 4,422 item sampah seberat kira-kira 486.8 kilogram berjaya dikumpulkan menerusi aktiviti pembersihan pantai di Pulau Maganting dan Blue Ring Reefs, Kunak, baru-baru ini.

Aktiviti pada 26 September lalu itu disertai 39 peserta selain daripada Kunak Darvel Marine Conservation Group (KDMCG), turut serta para peserta daripada komuniti, agensi kerajaan dan rakan kerjasama, bersempena International Coastal Clean Up 2026.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi KDMCG, botol plastik mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,327 item, diikuti 663 beg plastik, 330 pembungkus makanan, 242 serpihan plastik atau buih dan 227 penutup botol plastik.
Semua data berkenaan direkodkan sebagai sebahagian daripada usaha International Coastal Clean Up bagi mengenal pasti jenis dan sumber pencemaran marin.
Dalam aktiviti sama, pasukan penyelam komuniti turut menjalankan operasi penyingkiran Crown-of-Thorns (COT) di Blue Ring Reefs dan terumbu Pulau Maganting, dengan 711 ekor COT berjaya disingkirkan.
Usaha itu bertujuan mengurangkan tekanan terhadap terumbu karang di kawasan berkenaan, selain memberi peluang kepada komuniti terlibat secara langsung dalam pemantauan dan pemuliharaan ekosistem marin.
KDMCG berkata, aktiviti berkenaan turut membantu memperkukuh peranan komuniti melalui pengumpulan data, pemantauan dan tindakan secara langsung bagi membina kemahiran serta pengalaman dalam menyokong usaha pemuliharaan marin untuk jangka panjang.
Aktiviti itu turut mendapat kerjasama Reef Check Malaysia, Pejabat Perikanan Daerah Kunak, Jeti Pelancongan Semporna, Unit Serasi SKKGS, Pejabat Perhutanan Kunak dan Hartawan Stabil.



