HomeUtamaAgong Nasihat Rakyat Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir Besar

Agong Nasihat Rakyat Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir Besar

Read Time:1 Minute, 33 Second

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat, khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah, bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu susulan amaran Tahap Waspada (Kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari depan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya segala urusan pasca banjir.

Sehubungan dengan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, Seri Paduka Baginda menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan yang terancang, operasi-operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan berkepadatan tinggi dan juga pedalaman, dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor pelancongan Sabah berkembang 3.0 peratus pada 2023 – DOSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular