HomeUtamaMaritim Malaysia tahan vesel nelayan Filipina, 65 kru disyaki ceroboh perairan negara

Maritim Malaysia tahan vesel nelayan Filipina, 65 kru disyaki ceroboh perairan negara

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) Filipina bersama 65 kru yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan negara, pada 27 September lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata vesel berkenaan dikesan kira-kira jam 1.30 petang pada kedudukan lebih kurang 18 batu nautika barat Pulau Mantanani ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kru vesel berkenaan sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam vesel tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 65 kru termasuk tekong berada di atas vesel tersebut.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah, selain disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, vesel terbabit bersama tekong, kesemua kru dan hasil laut kemudiannya ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan membabitkan vesel dan hasil laut dianggarkan berjumlah RM350,000.

Mohd Khairulanuar berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan kedaulatan perairan, kepentingan sumber perikanan serta keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes tetak di Kuala Penyu, warga emas mengaku bersalah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular