LABUAN: Enam warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditahan dalam Op Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan di sekitar Bandar Labuan.
Mereka adalah antara 47 individu yang diperiksa dalam operasi menerusi Bahagian Penguatkuasa berkenaan.
Lima yang ditahan adalah warga Filipina terdiri daripada seorang lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Turut ditahan seorang perempuan warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Labuan dalam kenyataan berkata, operasi pada 30 September lalu itu dijalankan selama tiga jam bermula jam 10.30 malam hingga 1.30 pagi.
Kesemua individu yang ditahan akan melalui proses siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Labuan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen disarankan menyalurkan maklumat kepada JIM,” menurut kenyataan itu.



