HomeUtamaPenempatan doktor di Sabah perlu diberi perhatian serius – Masidi

Penempatan doktor di Sabah perlu diberi perhatian serius – Masidi

Read Time:1 Minute, 41 Second

RANAU: Kekurangan doktor susulan keengganan doktor dari Semenanjung untuk ditempatkan di negeri ini dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan, khususnya di hospital luar bandar di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dan diberikan pertimbangan khusus dalam Belanjawan Negara yang akan datang.

Menurut beliau, berdasarkan statistik, keadaan itu amat membimbangkan kerana kekurangan doktor boleh memberi kesan langsung terhadap operasi dan perkhidmatan hospital di kawasan luar bandar.

“Keengganan penempatan doktor-doktor muda daripada Semenanjung ke Sabah ini akan mengakibatkan banyak hospital luar bandar di Sabah akan terjejas perkhidmatannya kerana tidak cukup doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis graduasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, antara faktor yang dilaporkan menjadi sebab doktor muda enggan melaporkan diri bertugas di Sabah termasuk isu elaun wilayah, kos membawa barangan ke Sabah serta keperluan berjauhan daripada keluarga.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara berkenaan dapat diberi perhatian serius oleh kementerian berkaitan, terutama dalam menentukan agihan peruntukan menerusi Belanjawan Negara.

Katanya, usaha menangani isu berkenaan bukan hanya perlu tertumpu kepada penempatan doktor, sebaliknya turut melibatkan kemudahan dan persekitaran kerja di hospital.

“Memperbaiki prasarana dan kemudahan hospital itu sendiri, tempat tinggal doktor, servis sokongan, jururawat dan sebagainya cukup,” katanya.

Masidi turut membangkitkan keperluan memastikan perkhidmatan sokongan seperti jururawat mencukupi bagi mengurangkan tekanan terhadap petugas perubatan.

Menurut beliau, pertambahan hospital dan doktor perlu disertai dengan peningkatan kapasiti sektor sokongan supaya operasi hospital dapat berjalan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya skim perkhidmatan doktor turut dilihat semula bagi menyediakan insentif yang lebih menarik untuk menggalakkan mereka berkhidmat di kawasan luar bandar Sabah dalam tempoh lebih lama.

“Saya bukan Menteri Kesihatan, tapi barangkali melihat kembali skim perkhidmatan doktor itu sendiri agar dapat menyediakan satu insentif yang lebih menarik untuk memberikan mereka dapat berkhidmat di luar bandar dengan lebih lama,” katanya.

Masidi berkata cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan hospital luar bandar Sabah mempunyai tenaga perubatan dan sokongan yang mencukupi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah catat pertumbuhan 4.1 peratus ketibaan pelawat bagi tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular