KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyokong cadangan penganjuran konsert penyanyi muzik Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton di Kota Kinabalu, dengan menegaskan kebebasan beragama yang sekian lama diamalkan di Sabah perlu terus dihormati.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, acara berkenaan wajar dibenarkan berlangsung sekiranya penganjur memenuhi semua syarat, memperoleh kelulusan diperlukan serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Menurutnya, sokongan terhadap hak penganut Kristian menghadiri acara berkenaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap setiap pandangan peribadi atau politik artis yang terlibat.
“Menyokong kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan ini tidak bermaksud menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang oleh artis atau penghibur yang berkunjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafie berkata, bantahan terhadap sesuatu acara juga tidak seharusnya menjadi satu-satunya faktor menentukan sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh dianjurkan.
Katanya, setiap pihak mempunyai hak untuk menyatakan pandangan atau bantahan secara aman, namun pada masa sama hak individu yang mahu menghadiri acara berkenaan juga perlu dihormati.
“Bantahan semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan atau tidak.
“Setiap orang berhak tidak bersetuju dan menyatakan bantahan secara aman. Pada masa sama, mereka yang ingin menghadiri perhimpunan tersebut juga berhak mendapat layanan adil dan dihormati,” katanya.
Pendirian Shafie itu menyusul selepas Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, sebelum ini berpandangan konsert berkenaan sepatutnya diteruskan sekiranya isu keselamatan dapat diuruskan secara munasabah.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata polis akan menasihati kerajaan negeri supaya menangguhkan konsert Houghton sekiranya permohonan rasmi dikemukakan penganjur.
Menurut Jauteh, nama Houghton serta pendiriannya berkaitan Israel mencetuskan sensitiviti dalam kalangan masyarakat, selain dua laporan polis diterima yang membantah penganjuran konsert berkenaan pada masa ini.
Houghton merupakan penyanyi, penulis lagu dan pemuzik muzik gospel serta Kristian kontemporari dari Amerika Syarikat yang turut dikenali menerusi kumpulan Israel & New Breed.
Beliau pernah memenangi lapan Anugerah Grammy, termasuk bagi kategori Album Muzik Kristian Kontemporari Terbaik pada Anugerah Grammy 2026.
Dalam pada itu, Shafie berkata, prinsip menghormati agama lain turut merangkumi kebebasan masyarakat untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi dilakukan mengikut lunas undang-undang.
“Umat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi bumi ini selama beberapa generasi.
“Keharmonian beragama kita bergantung kepada usaha memastikan setiap komuniti berasa dihormati dan selamat dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, Shafie menyeru pihak berkuasa berkaitan supaya memudah cara penganjuran acara berkenaan selepas semua syarat dan keperluan ditetapkan dipenuhi.
Beliau pada masa sama menggesa semua pihak supaya mengamalkan sikap saling menghormati dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sabah.



