KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan peruntukan khas dan menyeluruh melalui Belanjawan Malaysia 2027 bagi menangani kejadian banjir kilat yang berulang di Inanam, Kolombong dan Menggatal.
Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sepanggar merangkap Penyelaras Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Dr. Roland Chia, berkata kawasan berkenaan memerlukan penyelesaian infrastruktur jangka panjang dan komprehensif, bukan sekadar bantuan pemulihan sementara atau penyelesaian secara berasingan.
Menurutnya, peningkatan kepadatan penduduk dan pembangunan pesat di kawasan Inanam, Kolombong dan Menggatal menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung aliran air hujan berintensiti tinggi.
Beliau berkata, sungai utama dan muara termasuk Sungai Inanam, Sungai Kionsom, Sungai Menggatal, Sungai Likas serta anak-anak sungai berhampiran perlu dinaik taraf, termasuk kerja mendalamkan dan melebarkan sungai serta pembinaan struktur tebatan banjir bagi melancarkan aliran air ke laut.
Katanya, kawasan perindustrian Kolombong dan kawasan perumahan sekitarnya juga memerlukan perhatian khusus berikutan kekerapan banjir kilat yang menjejaskan perniagaan, premis komersial dan harta benda penduduk.
“Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2027 disaran merangkumi kerja pembersihan, pembesaran dan pembinaan semula sistem perparitan konkrit berskala besar bagi meningkatkan keupayaan saliran di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Roland turut mencadangkan inisiatif khas mitigasi bencana bagi memperkukuh jambatan, jalan raya dan infrastruktur asas di kawasan kampung seperti Kionsom dan Kironggu yang berisiko mengalami hakisan atau kerosakan jambatan akibat arus deras.
Pada masa sama, beliau menggesa supaya peruntukan penyelenggaraan berkala kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertingkatkan bagi memastikan sistem saliran dan infrastruktur berkaitan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, banjir kilat bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda dan trauma kepada penduduk, malah menjejaskan rantaian bekalan logistik serta aktiviti ekonomi di hab perindustrian Inanam-Kolombong.
“Rakyat di Inanam, Kolombong dan Menggatal tidak boleh terus berdepan risiko banjir kilat setiap kali hujan lebat berterusan.
“Kita memerlukan peruntukan khas yang berfokus dalam Belanjawan 2027 demi penyelesaian konkrit, menyeluruh dan mampan untuk kawasan berkenaan,” katanya.



