HomeUtamaKakak tiri Zara dedah lima tangkap layar pertengkaran dengan ibu tiri

Kakak tiri Zara dedah lima tangkap layar pertengkaran dengan ibu tiri

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mendedahkan lima tangkap layar mesej Facebook berkaitan pertengkaran antara dirinya dengan ibu tirinya, Noraidah Lamat.

Malianah Mahathir, 25, berkata, tangkap layar berkenaan diterimanya selepas dia bertengkar dengan Noraidah menerusi Facebook pada usia 13 tahun.

“Bapa saya yang screenshot, dan dia juga yang hantar kepada saya. Jadi saya simpan sampai sekarang.

“Bapa hantar screenshot ni sebab dia tanya kenapa saya bergaduh dengan Mama Zara,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Mohd Fairus Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Malianah, dia tidak pasti tahun mesej berkenaan dihantar, namun antara tarikh yang tertera pada tangkap layar itu ialah 11 Jun, 21 Ogos dan 5 September.

Katanya, ketika itu dia tidak mempunyai gajet sendiri dan hanya dapat mengakses akaun Facebook berkenaan pada masa tertentu menggunakan peranti milik ahli keluarganya.

“Saya tidak pasti tahun bila, tapi masa itu saya 13 tahun,” katanya.

Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Malianah mengakui dia hanya membuat andaian bahawa bapanya yang membuka akaun Facebook atas nama Zara.

Katanya, andaian itu dibuat kerana bapanya turut membuka akaun Facebook untuk dia dan tiga adik-beradiknya.

Malianah turut mengakui beberapa perkataan dalam mesej yang didakwanya ditulis oleh Noraidah adalah perkataan yang biasa digunakan golongan muda.

Bagaimanapun, Malianah menegaskan dia yakin mesej berkenaan ditulis oleh Noraidah berdasarkan pengalamannya pernah tinggal bersama ibu tirinya itu.

“Saya pasti 100 peratus itu Ibu Zara sebab saya pernah tinggal bersama dengan dia, dan perkataan “anak haram” tu selalu keluar daripada mulut dia sewaktu saya tinggal bersama dia. So saya sangat memang sangat pasti ini dia,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-81 itu turut membacakan kesemua mesej dalam tangkap layar berkenaan.

Zara, 13, ditemukan di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes itu masih berjalan.

RELATED ARTICLES
Utama

Laporan Audit 2026 : Perubahan kerja RM60.87 juta di jajaran Sindumin–Beaufort...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular