Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia pernah membaca buku catatan yang dirujuk sebagai ‘diari’ Zara.
Noraidah Lamat berkata, Zara sendiri pernah memintanya membaca catatan berkenaan, namun dia hanya membacanya secara ringkas.
“Daripada bacaan ringkas itu, saya mendapati sebahagian besar catatan berkisar tentang persahabatan dan perkara yang berkaitan dengan kawan-kawannya,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Noraidah berkata, dia mengetahui anaknya menulis dalam buku-buku catatan berkenaan yang bermula sekitar 2021 atas galakan seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Pantai.
Menurut saksi ke-82 itu, galakan itu bertujuan membantu Zara memperbaiki dan mencantikkan tulisan tangannya sebelum mereka membeli beberapa buku catatan di sebuah kedai DIY.
“Buku-buku tersebut bukanlah diari harian dalam pengertian lazim, iaitu tempat Zara mencatat pengalaman harian secara kronologi atau meluahkan perasaan secara konsisten.
“Pada pengetahuan saya, buku-buku itu lebih menyerupai buku catatan peribadi yang dikaitkan dengan kawan-kawan rapatnya.
Zara mempunyai beberapa buah buku dan setiap satu dikaitkan dengan kawan tertentu, dan kandungannya banyak berkisar tentang persahabatan dan pengalaman bersama kawan-kawan tersebut,” katanya.
Noraidah berkata, Zara juga kadangkala berkongsi buku berkenaan dengan kawan-kawannya dan membenarkan mereka menulis atau meninggalkan catatan di dalamnya.
Katanya, Zara tidak menulis mengikut jadual tetap, sebaliknya pada masa berbeza sama ada selepas sesi persekolahan petang, pada waktu malam atau hujung minggu.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes itu masih berjalan.

