HomeUtamaParlimen sekolah mampu bentuk generasi berkeyakinan – Arif

Parlimen sekolah mampu bentuk generasi berkeyakinan – Arif

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Setiap sekolah khususnya sekolah menengah di negeri ini digalakkan untuk mewujudkan platform ‘Parlimen’ sebagai usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepimpinan, perbahasan serta tanggungjawab dalam menyuarakan pandangan.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata,  pelaksanaan program simulasi Parlimen di sekolah mampu menjadi pendekatan berkesan dalam membentuk jati diri dan karakter pelajar sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, pengalaman mengikuti persidangan simulasi itu membolehkan pelajar mengasah keberanian untuk tampil ke hadapan, menyampaikan pandangan serta berbahas secara teratur.

“Saya berharap program sebegini dapat dibuka di seluruh sekolah kerana ia antara yang terbaik untuk membentuk karakter pelajar dan membina jati diri mereka.

“Mungkin boleh disarankan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dibawa ke tengah supaya setiap sekolah dapat mewujudkan Parlimen di sekolah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan pelaksanaan program simulasi Parlimen di Sekolah Menengah (SM) La Salle di sini pada Khamis.

Arif berkata, pembentukan karakter tidak seharusnya hanya bergantung kepada pembelajaran di dalam bilik darjah, sebaliknya pelajar perlu diberi peluang menyertai aktiviti yang dapat membina keyakinan dan kemahiran komunikasi.

Katanya, simulasi Parlimen menyediakan ruang kepada pelajar untuk belajar membentang dan membahas sesuatu perkara, selain memahami kepentingan disiplin serta tanggungjawab ketika menyampaikan pandangan.

“Bila saya lihat sendiri daripada awal persidangan, saya dapati pelaksanaannya sangat baik dan saya fikir ia sangat berkesan untuk generasi yang akan datang.

“Kita mahu pelajar mempunyai kekuatan diri dan keyakinan diri supaya mereka dapat menjadi generasi yang mempunyai kemampuan, jati diri, disiplin dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh melalui program sedemikian juga boleh menjadi asas kepada pembentukan generasi yang lebih bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.

Arif berkata, pendekatan itu menunjukkan potensi untuk diperluaskan ke sekolah lain sebagai salah satu inisiatif pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Katanya, penglibatan lebih banyak sekolah dalam program seumpama itu dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar membangunkan potensi diri menerusi pengalaman membentang, berbahas dan bekerja secara berdisiplin dalam satu persidangan simulasi.

“Harapan kita ialah program seperti ini dapat membantu membentuk karakter dan jati diri pelajar, selain meningkatkan kemampuan serta keyakinan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KKM umum kuota 30 peratus latihan kepakaran untuk doktor di Sabah,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular