HomeUtamaKPDN Sandakan rampas 27,495 pek daun terup tiruan

KPDN Sandakan rampas 27,495 pek daun terup tiruan

Read Time:1 Minute, 25 Second

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan merampas 27,495 pek daun terup yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran dalam serbuan di tiga premis perniagaan berasingan di daerah ini, pada 7 Oktober.

Rampasan yang dianggarkan bernilai RM55,079.20 itu dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari oleh tiga pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Sandakan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan bagi mengesahkan ketulenan barangan berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, tindakan itu menghasilkan tiga kes untuk siasatan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

Beliau menasihatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya dengan memastikan barangan berjenama yang dijual di premis masing-masing diperoleh daripada pembekal yang sah.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut akta berkenaan. Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan pertama boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat atau pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan pertama, manakala denda bagi kesalahan berikutnya boleh mencecah RM30,000 bagi setiap barangan.

KPDN Cawangan Sandakan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan yang melanggar hak harta intelek serta boleh mengelirukan pengguna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, talian pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Muzium Mini Hakka pelihara warisan budaya masyarakat Hakka Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular