HomeUtamaMuzium Mini Hakka pelihara warisan budaya masyarakat Hakka Sabah

Muzium Mini Hakka pelihara warisan budaya masyarakat Hakka Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

TUARAN: Penubuhan Muzium Mini Hakka di Tuaran akan memperkukuh usaha memelihara warisan sejarah dan kebudayaan masyarakat Hakka, selain menjadi pusat rujukan bagi generasi akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, muzium itu merupakan inisiatif signifikan dalam menghimpunkan khazanah sejarah dan warisan budaya masyarakat Hakka, termasuk rakaman bahasa, sejarah, busana tradisional tarian unicorn, resipi warisan serta kisah di sebalik hidangan tradisional masyarakat berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian bangunan baharu Persatuan Hakka Daerah Tuaran dan Muzium Mini Hakka di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Menurut Hajiji, penubuhan muzium itu bukan sekadar memelihara khazanah sejarah, malah menjadi penghubung antara warisan silam dengan aspirasi masa depan, khususnya dalam memberi peluang kepada generasi muda dan pengunjung untuk mengenali serta menghargai sumbangan masyarakat Hakka dalam pembentukan sejarah dan identiti Sabah.

Beliau berkata, masyarakat Hakka telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri sejak kehadiran mereka di Sabah seawal 1883, termasuk mencorakkan landskap sosioekonomi serta memperkaya warisan budaya negeri ini.

Katanya, usaha memartabatkan warisan kebudayaan seperti itu turut berupaya memperkukuh semangat saling menghormati, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Kepelbagaian budaya merupakan kekayaan yang harus kita pelihara, manakala perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan yang mesti terus kita pertahankan demi masa depan Sabah yang aman, harmoni dan makmur,” katanya.

Hajiji turut menegaskan kepentingan persatuan masyarakat seperti Persatuan Hakka Daerah Tuaran dalam memelihara identiti budaya komuniti masing-masing, selain menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Beliau berharap persatuan itu akan terus memberi perhatian kepada pembangunan generasi muda, memperkasa aktiviti kebudayaan, memperluas program kemasyarakatan serta meneruskan khidmat kepada masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat dalam pembangunan komuniti, dengan sokongan dan kerjasama antara kerajaan, pertubuhan masyarakat, sektor swasta serta rakyat penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus dilaksanakan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Hakka Daerah Tuaran atas pembukaan Muzium Mini Hakka yang dijangka menjadi satu lagi tarikan pelancongan di daerah ini.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Sandakan rampas 27,495 pek daun terup tiruan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular