KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 membuka peluang untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan, memperluas sokongan kepada wanita dan keluarga serta menambah baik bantuan kepada golongan rentan di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini mencerminkan komitmen berterusan terhadap penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, kemudahan perubatan dan tenaga kerja kesihatan.
Beliau berkata, keutamaan kini adalah memastikan peruntukan dan inisiatif yang disediakan dapat dimanfaatkan secara berkesan, mengambil kira keperluan tempatan serta memberikan impak nyata kepada rakyat.
“Kita perlu memberikan tumpuan kepada keperluan masyarakat dan memastikan setiap inisiatif membawa manfaat praktikal, khususnya di kawasan yang paling memerlukan penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita berkata, usaha memperkukuh tenaga kerja kesihatan, termasuk penyediaan lebih 9,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak pada 2027 serta peningkatan Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) bagi jururawat dan paramedik, berpotensi meningkatkan kestabilan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Katanya, tenaga kerja kesihatan yang mencukupi penting bagi memastikan kesinambungan rawatan dan mutu perkhidmatan, khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
“Tenaga kerja kesihatan yang kukuh amat penting bagi memastikan kesinambungan rawatan dan mutu perkhidmatan. Di Sabah, akses kepada petugas kesihatan perlu terus diberi keutamaan, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM200 juta bagi rawatan pesakit melalui perkhidmatan luar, RM1.2 bilion untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan kesihatan awam serta penyediaan 400 ambulans baharu untuk KKM.
Menurutnya, inisiatif berkenaan berpotensi meningkatkan akses kepada rawatan dan memperkukuh perkhidmatan kecemasan, terutama di Sabah yang mempunyai cabaran geografi serta penempatan penduduk yang berjauhan dari hospital utama.
“Dengan mengambil kira keadaan geografi Sabah, usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan memerlukan perhatian terhadap kemudahan, peralatan perubatan, tindak balas kecemasan dan perkhidmatan pakar supaya penduduk yang tinggal jauh dari hospital utama dapat menerima rawatan tepat pada masanya,” katanya.
Dari aspek kemampuan mendapatkan rawatan, Julita turut menyambut baik peningkatan peruntukan Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini, selain sokongan menerusi inisiatif seperti PeKa B40 dan peluasan langkah pencegahan penyakit.
Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2027 turut menyediakan sokongan kepada golongan rentan, termasuk peruntukan bantuan RM1.5 bilion untuk orang kurang upaya (OKU) dan RM1.3 bilion bagi warga emas.
Katanya, bantuan berkenaan perlu disokong dengan akses kepada penjagaan bersesuaian, pemulihan dan sokongan komuniti, termasuk bantuan kepada penjaga yang memainkan peranan penting dalam menjaga OKU, warga emas serta individu yang memerlukan penjagaan jangka panjang.
“Bantuan perlu disertai akses kepada penjagaan yang bersesuaian, pemulihan dan sokongan komuniti. Sokongan kepada penjaga juga sama penting kerana keluarga sering memainkan peranan utama dalam menjaga OKU, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan jangka panjang,” katanya.
Julita berkata, inisiatif yang menyokong penyertaan ekonomi wanita, pembiayaan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pula berpotensi membantu wanita menjana pendapatan mampan, di samping mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga.
“Kita mahu wanita dan keluarga di Sabah turut mendapat manfaat daripada peluang ini, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Keutamaan saya adalah memastikan program yang bersesuaian sampai kepada kumpulan sasar dan membantu meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya akan terus meneliti keperluan masyarakat dan menyokong pelaksanaan program berkaitan secara berkesan, dengan memberikan perhatian khusus kepada komuniti luar bandar, wanita, keluarga, warga emas dan OKU.



