HomeUtamaHari Kesihatan 2026 terima sambutan menggalakkan

Hari Kesihatan 2026 terima sambutan menggalakkan

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Golongan warga emas antara yang mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma sempena Hari Kesihatan 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai, di sini, hari ini.

Program anjuran Persatuan Wanita Sabah dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Likas itu menerima sambutan menggalakkan apabila orang ramai hadir seawal jam 6 pagi tadi untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan yang disediakan.

Program sehari itu bermula dari jam 8 pagi hingga jam 3 petang.

Datuk Awang Kadin Tang (dua kiri) bersama wakil penganjur ketika meninjau kaunter perkhidmatan kesihatan yang disediakan untuk orang ramai sempena Hari Kesihatan 2026 di sini, hari ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Likas, Glena Wong, berkata sambutan itu menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat, khususnya warga emas, terhadap kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat. Kita gembira melihat ramai warga emas mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang disediakan secara percuma.

“Program seperti ini bukan sahaja membantu masyarakat mengetahui tahap kesihatan masing-masing, malah menggalakkan amalan pencegahan dan pengesanan awal penyakit,” katanya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah pemeriksaan kesihatan asas, saringan gula dan kolesterol, pemeriksaan tekanan darah, mata dan pergigian serta pemeriksaan kesihatan wanita.

Program bertemakan ‘Sihat Bersama, Keluarga Sejahtera’ itu turut menyediakan vaksin influenza percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Glena berkata, kerjasama antara Persatuan Wanita Sabah dan UPPM Likas itu merupakan usaha untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur.

“Kesihatan rakyat perlu sentiasa diberi keutamaan kerana masyarakat yang sihat menjadi asas kepada pembentukan keluarga sejahtera dan komuniti yang produktif.

“Kita berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai penduduk, khususnya warga emas dan keluarga berpendapatan rendah, mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, petugas kesihatan, sukarelawan serta semua organisasi yang terlibat menjayakan program berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Penunggang motosikal maut langgar, rempuh motokar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular