HomeEkonomiSabah mahu manfaat lebih besar daripada industri minyak dan gas

Sabah mahu manfaat lebih besar daripada industri minyak dan gas

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu memastikan industri minyak dan gas menjana nilai ekonomi lebih besar, membuka peluang kepada syarikat tempatan serta memberikan manfaat berpanjangan kepada negeri dan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan industri itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk infrastruktur, perkhidmatan sokongan, aktiviti hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran dan pelaburan.

“Sudah tentu, kita mahu supaya perkembangan industri ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah Projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Projek Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan PETRONAS, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, perkembangan aktiviti eksplorasi dan penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan potensi lebih besar bagi pembangunan industri minyak dan gas Sabah pada masa hadapan.

Katanya, infrastruktur SOGT dan SSGP bukan sekadar menyokong operasi industri, malah berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang.

Sehubungan itu, beliau berkata, infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan untuk menyokong peluang pelaburan, pembangunan industri dan peningkatan sosioekonomi, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan semasa, tetapi juga pada masa hadapan.

Hajiji turut menghargai sumbangan, pelaburan dan kepakaran PETRONAS dalam pembangunan industri minyak dan gas tempatan, sambil menegaskan kepentingan memperluas penyertaan syarikat serta vendor Sabah.

Katanya, syarikat tempatan perlu diberi ruang meningkatkan keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi dan modal supaya mampu menyertai peluang perniagaan yang lebih besar serta bernilai tinggi dalam rantaian industri itu.

Beliau berkata, pembangunan industri berkenaan juga perlu disertai usaha membangunkan modal insan dengan memastikan anak Sabah mendapat peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan untuk membina kerjaya dalam sektor minyak dan gas, khususnya bidang teknikal dan profesional.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, SEDCO perlu memperluas peranannya daripada pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri, termasuk mengenal pasti peluang kerjasama melibatkan tanah, infrastruktur dan pembangunan komersial.

Menurutnya, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara SEDCO dengan PETRONAS itu mencerminkan usaha mengurus aset tanah negeri secara lebih teratur, memberikan kepastian kepada pengguna serta memelihara kepentingan komersial Sabah.

Beliau berharap kerjasama SEDCO-PETRONAS dapat berkembang menjadi perkongsian strategik yang lebih luas bagi memastikan pembangunan sumber dan aset negeri menghasilkan nilai ekonomi yang nyata serta berpanjangan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

SEDCO-PETRONAS meterai pajakan tanah RM200 juta bagi tempoh 30 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular