KOTA KINABALU: Kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana projek berkenaan membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan.
Ketua Merinyu Projek, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata projek berkenaan melibatkan tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, perunding, kontraktor serta syarikat utiliti.
Menurutnya, lebih 70 peratus projek Pan Borneo Sabah Fasa 1A membabitkan kerja melebarkan jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, yang sememangnya mempunyai tahap kerumitan tinggi.
“Kerja ini bukan mudah kerana melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.
“Justeru, tidak adil jika Kerajaan Negeri Sabah dipersalahkan sepenuhnya atas kelewatan projek ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata, antara faktor utama kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak.
Katanya, proses menyesuaikan reka bentuk dengan keadaan sebenar memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Setiap perubahan reka bentuk boleh melibatkan pertambahan kos yang memerlukan penilaian teknikal dan kelulusan kewangan daripada KKR serta Kementerian Kewangan (MOF).
“Proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat serta jelas bagi mengelakkan kelewatan sama berulang pada masa akan datang.
Katanya, mekanisme berkenaan khususnya membabitkan Arahan Perubahan Kerja (VO) dan pelarasan had kewangan wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui Perjanjian Tambahan.
Dalam pada itu, Salleh berkata, semua pihak yang terlibat perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan punca sebenar sesuatu kelewatan dapat dikenal pasti serta ditangani.
“Setiap pihak perlu dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing, bukan menjadikan satu pihak sebagai sasaran kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah tidak memerlukan budaya saling menyalahkan, sebaliknya mahu melihat projek Lebuhraya Pan Borneo disiapkan demi meningkatkan kesalinghubungan serta memberi manfaat kepada rakyat dan pembangunan negeri.
“Apa yang diperlukan ialah kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan kelulusan yang lebih cekap.
“Keutamaan kita mesti jelas iaitu mengurangkan kelewatan, mempercepatkan pelaksanaan dan menyiapkan projek demi rakyat Sabah,” katanya.



