KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi moden termasuk kamera berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan peralatan pemantauan prestasi mampu meningkatkan keberkesanan latihan serta pembangunan bakat muda bola sepak di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penerapan teknologi dalam sukan membolehkan jurulatih menilai prestasi pemain dengan lebih tepat, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki serta merancang kaedah latihan lebih berkesan.
Katanya, penggunaan sains sukan yang digabungkan dengan teknologi moden turut membantu pemain memahami perkembangan prestasi masing-masing, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan keupayaan untuk bersaing pada tahap lebih tinggi.
“Penerapan sains sukan bersama teknologi moden dapat membantu pemain memahami perkembangan prestasi masing-masing, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan keupayaan mereka untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Coca-Cola: Bina Juara di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Menurut Masidi, kemajuan teknologi dalam bidang sukan perlu dimanfaatkan bukan sahaja oleh pemain di peringkat elit, malah golongan muda di peringkat akar umbi termasuk di kawasan luar bandar.
Katanya, akses lebih meluas kepada teknologi dan kaedah latihan moden penting bagi memastikan lebih ramai bakat muda Sabah berpeluang menerima latihan serta bimbingan berkualiti.
“Pada masa sama, pengetahuan dan kemahiran jurulatih perlu terus dipertingkatkan supaya penggunaan teknologi dapat diterjemahkan kepada kaedah latihan yang benar-benar berkesan,” katanya.
Masidi berkata, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, persatuan sukan dan komuniti juga penting bagi memastikan pembangunan teknologi dalam sukan memberi manfaat secara berterusan kepada pemain muda Sabah.
“Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, persatuan sukan dan komuniti penting bagi memastikan pembangunan teknologi sukan memberi manfaat berterusan kepada pemain muda Sabah,” katanya.
Beliau berharap penggunaan teknologi serta pendekatan latihan berasaskan sains dapat membantu anak muda Sabah mengembangkan potensi masing-masing, seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan bola sepak negeri.



