LAHAD DATU: Cubaan menyeludup keluar 240 liter petrol bersubsidi dan sebuah motosikal jenis Yamaha ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Felda Sahabat, Tungku, di sini, pada Rabu.
Rampasan itu dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM50,000 dan dijalankan menerusi operasi bersepadu Op Sejahtera 1/2022 serta Op Tiris 4.0.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi berasaskan maklumat risikan itu mengesan sebuah bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.35 batu nautika barat daya Kampung Sinakut Tengah.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa yang cuba menghampiri untuk menjalankan pemeriksaan, suspek bertindak memecut bot berkenaan ke arah pesisir pantai sebelum meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot ronda penguat kuasa yang cuba menghampiri untuk pemeriksaan, suspek bertindak memecut laju bot tersebut ke arah pesisir pantai sebelum meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 12 tong berisi petrol dengan jumlah anggaran 240 liter, selain sebuah motosikal jenis Yamaha.
“Kesemua barangan kawalan dan kenderaan tersebut disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran secara tidak sah,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Bot bersama kesemua barang rampasan kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Maritim Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan rondaan secara terancang bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.
Usaha itu penting bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara terus terpelihara, khususnya di kawasan yang berisiko menjadi laluan aktiviti penyeludupan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.



