HomeUtamaSabah mahu inovasi perubatan sukan dikomersialkan

Sabah mahu inovasi perubatan sukan dikomersialkan

Read Time:2 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Inovasi dalam bidang perubatan sukan di Sabah perlu dikembangkan daripada peringkat idea dan penyelidikan kepada penghasilan produk yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara pakar perubatan, saintis, penyelidik, inovator dan pemain industri bagi menghasilkan penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar sektor kesihatan.

Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan tidak seharusnya terhenti pada peringkat idea, prototaip atau penyertaan pertandingan semata-mata, sebaliknya perlu diteruskan sehingga berjaya dikomersialkan.

“Kita tidak mahu inovasi yang baik hanya berakhir sebagai idea, prototaip atau penyertaan pertandingan. 

“Kita mahu melihat inovasi tempatan bergerak lebih jauh, daripada idea kepada penyelidikan, daripada penyelidikan kepada produk, dan daripada produk kepada pengkomersialan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap I kementerian berkenaan, Doria Tai Yun Tyng, pada majlis perasmian KINETIC NEXT 2026: Sports Medicine Symposium – Innovation in Sports Performance & Rehabilitation di sini.

Simposium selama dua hari bertemakan Inovasi dalam Rehabilitasi Sukan dan Prestasi Atlet itu menghimpunkan seramai 205 peserta dari Sabah dan Sarawak, terdiri daripada pengamal perubatan, petugas klinikal, pendidik, pelajar bidang sukan, jurulatih kecergasan serta atlet daripada pelbagai institusi, sekolah, kelab dan organisasi.

Program julung kali dianjurkan itu dikendalikan Unit Perubatan Sukan, Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kerjasama Persatuan Inovasi Kota Kinabalu Sabah (PIKKSA).

Penganjurannya turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Kinabalu Association of Sports Medicine (KIASM), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) serta rakan strategik lain.

Menurut James, bidang perubatan dan kesihatan mempunyai potensi besar untuk diterokai melalui penerapan sains, teknologi dan kreativiti, selain bidang teknologi digital dan industri yang sering dikaitkan dengan inovasi.

Antara bidang yang berpotensi dibangunkan termasuk teknologi pemulihan, peralatan perubatan, pemantauan prestasi atlet, pencegahan kecederaan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan dan sukan.

Beliau berkata, pengalaman klinikal serta cabaran yang dihadapi petugas kesihatan setiap hari boleh dijadikan asas kepada penyelidikan dan pembangunan produk yang lebih praktikal serta menepati keperluan pengguna.

Katanya, kerjasama rentas bidang juga penting bagi memastikan idea yang dicetuskan oleh pengamal perubatan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi yang boleh digunakan secara meluas.

“Sebuah idea daripada seorang doktor mungkin dapat diperkasakan oleh seorang jurutera. Cabaran yang dikenal pasti oleh ahli fisioterapi mungkin dapat diterjemahkan kepada teknologi oleh seorang inovator,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat PIKKSA berpotensi menjadi platform yang menghubungkan inovator, saintis, pakar perubatan dan pemain industri bagi memperkukuh ekosistem inovasi di Sabah.

Beliau turut berharap lebih banyak produk inovasi tempatan yang berpotensi dapat diketengahkan ke pasaran, khususnya dalam bidang perubatan dan teknologi kesihatan, sekali gus membuka peluang kepada hasil penyelidikan tempatan untuk dimanfaatkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Unit Perubatan Sukan HQE, Dr Redzal Abu Hanifah berkata, bidang perubatan sukan bukan hanya tertumpu kepada atlet profesional, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat umum.

Katanya, bidang itu merangkumi aspek pencegahan, diagnosis dan rawatan masalah otot, sendi serta ligamen melalui senaman bersasar dan kaedah rawatan inovatif bagi membantu individu menjalani aktiviti harian serta bersukan dengan lebih baik.

Simposium berkenaan turut menyediakan ruang perkongsian ilmu dan perbincangan mengenai pendekatan terkini dalam meningkatkan prestasi atlet, mempercepat proses pemulihan serta mengurangkan risiko kecederaan.

RELATED ARTICLES
Utama

KKPAC buka lebih banyak ruang untuk bakat seni Sabah berkembang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular