HomeUtamaUPPM, Sabah Electricity perkukuh kerjasama tangani isu bekalan elektrik

UPPM, Sabah Electricity perkukuh kerjasama tangani isu bekalan elektrik

Read Time:1 Minute, 33 Second

BEAUFORT: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah dan Sabah Electricity memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan penyampaian maklumat serta penyelarasan maklum balas dan aduan masyarakat berkaitan bekalan elektrik.

Perkara itu menjadi fokus Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama UPPM bagi kawasan Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang yang berlangsung di sini, semalam.

Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata sesi berkenaan menjadi platform bagi kedua-dua pihak berkongsi maklumat, menyelaraskan tindakan dan meningkatkan kefahaman mengenai isu bekalan elektrik yang melibatkan kepentingan rakyat.

Menurutnya, bekalan elektrik yang stabil penting bukan sahaja untuk kegunaan isi rumah, malah turut menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan, perniagaan dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata UPPM berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, termasuk mendapatkan maklum balas masyarakat, mengenal pasti isu di peringkat akar umbi serta menyalurkan aduan kepada pihak berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut.

Sesi itu turut merangkumi perkongsian maklumat mengenai status bekalan elektrik, pembangunan infrastruktur, perkhidmatan pengguna, keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga.

Program berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus yang diadakan di Sandakan pada 23 Mei lalu, selain melibatkan sesi taklimat dan dialog bagi memperkukuh komunikasi dua hala antara Sabah Electricity dengan UPPM.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar, turut hadir dalam program berkenaan.

Penyertaan melibatkan pemimpin pembangunan masyarakat, wakil UPPM dan pemimpin komuniti daripada sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.

Awang Kadin berharap sesi berkenaan menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara Sabah Electricity dengan UPPM dalam menangani isu bekalan elektrik di peringkat akar umbi.

“Kerjasama yang kukuh perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat. Saya berharap maklumat yang diperoleh hari ini dapat membantu kakitangan UPPM melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus berkongsi maklumat dan menyelaraskan tindakan secara konsisten bagi menangani isu di peringkat akar umbi serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendakwaan tutup kes lima remaja didakwa mencela Zara, lebih 20 saksi...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular