KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) menyasarkan peluasan Program First Responder Life Support (FRLS) ke lebih banyak sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, bagi membentuk komuniti pendidikan yang mempunyai kemahiran asas menyelamatkan nyawa.
Penyelaras FRLS, Dr Jamariah Jamadi berkata, peluasan program itu penting bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran bantuan kecemasan dapat disebarkan secara lebih meluas dalam kalangan warga sekolah.
Menurutnya, pendekatan train-the-trainer yang diterapkan dalam program berkenaan membolehkan guru dan pelajar yang menerima latihan berkongsi pengetahuan serta kemahiran dengan warga sekolah masing-masing.
“Program ini bermatlamat melatih jurulatih FRLS dalam kalangan guru dan pelajar supaya ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dikongsikan dan diteruskan secara berperingkat di sekolah masing-masing.

“Melalui pendekatan ini, inisiatif berkenaan dilihat mampu melahirkan lebih ramai warga sekolah yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan untuk bertindak sebagai responden awal ketika menghadapi situasi kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, latihan FRLS memberi penekanan kepada teknik Hands-Only Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) atau resusitasi kardiopulmonari tanpa bantuan pernafasan serta tatacara penggunaan Automated External Defibrillator (AED).
Katanya, kemahiran berkenaan amat penting bagi membolehkan bantuan awal diberikan dengan pantas, khususnya ketika berlaku kes henti jantung di luar hospital atau out-of-hospital cardiac arrest (OHCA).
“Pendedahan melalui latihan praktikal dan pembelajaran interaktif diharap dapat meningkatkan kesedaran serta keyakinan warga sekolah untuk bertindak dengan pantas dan betul ketika berhadapan situasi kecemasan,” katanya.
Program FRLS terbaharu anjuran HUMS menerusi Jabatan Perubatan Kecemasan dan Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu berlangsung selama dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Titingan, Tawau, baru-baru ini.
Ia membabitkan guru dan pelajar daripada lima sekolah iaitu SMK Titingan, SMK Tawau, SMK Jalan Apas, SMK Pasir Putih dan SMK Balung.
Bagi memastikan kesinambungan latihan di sekolah, pihak penganjur turut menyumbangkan set manekin CPR, kit pertolongan cemas dan sijil penyertaan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian.
Jamariah berkata, usaha itu turut menyokong aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi kempen Kids Save Lives yang menggalakkan pendidikan CPR dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurutnya, jaringan sekolah yang mempunyai warga terlatih dalam bantuan kecemasan dapat membantu memastikan tindakan awal boleh diberikan sebelum ketibaan pasukan perubatan.
Penganjuran berkenaan merupakan kali ketujuh sejak inisiatif FRLS diperkenalkan HUMS, mencerminkan komitmen berterusan universiti itu dalam memperluas pendidikan dan latihan bantuan kecemasan asas kepada komuniti sekolah di Sabah.



