KOTA KINABALU: COOPFEST Borneo perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk memperluas jaringan perniagaan serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada gerakan koperasi Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran program itu bukan sekadar bertujuan mempromosikan produk koperasi, sebaliknya perlu membuka ruang kepada hubungan pembekalan, perkongsian kepakaran dan kerjasama perniagaan yang berterusan.
Katanya, COOPFEST Borneo juga menjadi medium untuk mendekatkan koperasi dengan masyarakat, mempertemukan pengeluar dengan pasaran serta menyerlahkan peranan koperasi sebagai penggerak ekonomi komuniti.
“COOPFEST Borneo bukan sekadar karnival pameran dan jualan, malah platform mendekatkan koperasi dengan masyarakat, mempertemukan koperasi dengan pasaran, memperluas jaringan perniagaan dan menyerlahkan peranannya sebagai penggerak ekonomi komuniti.

“Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan sumber tempatan, keunikan budaya dan potensi keusahawanan komuniti. Melalui COOPFEST Borneo, koperasi kedua-dua negeri berpeluang membangunkan pasaran Borneo sebagai ekosistem perniagaan yang saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan COOPFEST Borneo 2026 di Suria Shopping Mall, di sini, pada Jumaat.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, koperasi di Sabah dan Sarawak perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membangunkan jaringan pembekalan dan pemasaran, khususnya dalam sektor pertanian, makanan, pelancongan komuniti, kraftangan dan perkhidmatan.
“Saya mahu agar lebih banyak koperasi membina jaringan pembekalan hasil pertanian dan makanan, pengedaran barangan, pelancongan komuniti, kraftangan serta perkhidmatan.
“Gabungan kekuatan pengeluaran, logistik, pemasaran dan pelanggan akan membantu koperasi meningkatkan skala perniagaan,” katanya.
Menurutnya, COOPFEST Borneo yang julung kali dianjurkan menghimpunkan 30 koperasi dari Sabah dan Sarawak, selain penyertaan 10 usahawan di bawah TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Program yang berlangsung selama tiga hari itu dijangka menarik kira-kira 2,000 pengunjung.
Ewon berkata, penyertaan koperasi dan usahawan dalam COOPFEST Borneo perlu dimanfaatkan untuk membina hubungan perniagaan yang boleh diteruskan walaupun selepas program berkenaan berakhir.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerakan koperasi di Sabah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang berdasarkan prestasi ekonomi yang direkodkan sehingga Disember 2025.
Katanya, sebanyak 2,047 koperasi direkodkan di Sabah dengan keanggotaan seramai 388,683 orang, selain mencatat jumlah aset sebanyak RM1.172 bilion dan perolehan RM913.33 juta.
“Perangkaan ini membuktikan kekuatan ekonomi koperasi Sabah dan asas yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan.
“Namun, pertumbuhan aset dan perolehan mesti disokong pengurusan profesional, tadbir urus yang baik serta strategi pasaran berkesan,” katanya.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) turut memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh keupayaan usahawan tempatan, termasuk gerakan koperasi.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi bantuan pembangunan, latihan, peningkatan mutu produk dan peluasan pasaran.
Menurutnya, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET yang diperuntukkan RM1 juta pada tahun ini turut diperluas skopnya bagi memberi manfaat kepada koperasi, selain usahawan individu dan persatuan keusahawanan.
“Setakat ini, dua koperasi telah menerima manfaat daripada program itu,” katanya.
Beliau turut menggalakkan koperasi memanfaatkan Program Bantuan SME-UP yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).
Menurutnya, program berkenaan merangkumi bantuan seperti mesin dan peralatan pengeluaran, teknologi pemprosesan makanan, pendaftaran cap dagangan serta pensijilan halal.
Ewon berkata, kerjasama strategik antara MINDET, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta pemain industri penting bagi meningkatkan daya saing produk dan pendapatan anggota koperasi.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David.



