BERNAMA
RANAU : Jumlah hadiah kemenangan bagi Mount Kinabalu International Climbathon berkemungkinan dinaikkan pada penganjuran akan datang bagi menarik lebih ramai peserta elit antarabangsa menyertai pertandingan berprestij itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata cadangan itu sedang dipertimbangkan memandangkan pertandingan berkenaan kini menjadi sebahagian daripada Merrell Skyrunner World Series yang menghimpunkan pelari terbaik dunia.
Beliau berkata tawaran hadiah lebih lumayan dilihat mampu menjadi insentif kepada pelari antarabangsa untuk terus menjadikan larian pendakian itu sebagai antara pertandingan pilihan mereka.
“Rasanya memang sudah sampai masanya untuk kami menawarkan hadiah yang lebih lumayan bagi menarik lebih ramai peserta, terutama pelari di peringkat antarabangsa,” katanya selepas melepaskan peserta Mount Kinabalu International Climbathon ke-33 di Taman Kinabalu di sini hari ini.
Jafry berkata pertandingan kali ini turut menarik penyertaan beberapa pelari elit yang berada di kedudukan ke-11, ke-13 dan ke-18 dunia, sekali gus mencerminkan daya tarikan acara itu dalam kalangan pelari antarabangsa.
Beliau berkata kira-kira 253 peserta menyertai edisi kali ini, termasuk pelari dari 26 negara luar, dengan sebahagian peserta antarabangsa menjadikan pertandingan itu sebagai medan mengumpul mata kelayakan ke acara kemuncak Merrell Skyrunner World Series di Sepanyol pada November ini.
Bagi edisi kali ini, pemenang tempat pertama kategori Elit Lelaki, Elit Wanita dan Veteran Lelaki masing-masing menerima hadiah wang tunai RM8,000 manakala naib juara membawa pulang RM6,000 dan pemenang tempat ketiga RM4,000 bagi setiap kategori.
Sementara itu, Jafry berkata pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan mengenai cadangan menyediakan tajaan atau bantuan kewangan kepada pelari tempatan bagi membolehkan mereka menyertai siri perlumbaan Skyrunner World Series di luar negara.
Beliau berkata usaha itu bertujuan memberikan peluang kepada pelari tempatan menimba pengalaman serta meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dengan atlet antarabangsa.
Menurut Jafry, penganjuran larian pendakian itu juga bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah mampu mempromosikan keindahan alam semula jadi Gunung Kinabalu kepada peserta dan pelancong antarabangsa.
“Kami harap penganjuran acara bertaraf dunia ini akan terus menarik kehadiran pelancong, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.– BERNAMA



