HomeUtamaKontena hempap Toyota Avanza, dua maut

Kontena hempap Toyota Avanza, dua maut

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Dua individu maut selepas sebuah kereta Toyota Avanza dihempap kontena yang dibawa sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, di sini, petang semalam.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang dihempap kontena di lokasi kejadian itu. – Foto ihsan JBPM Sabah

Kedua-dua mangsa, masing-masing lelaki berusia 53 tahun yang merupakan pemandu dan penumpang wanita berusia 24 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 7.01 malam dan mendapati sebuah lori treler bersama kontena terbalik lalu menghempap Toyota Avanza yang sedang melalui jalan berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi, lori treler itu sedang menjalankan kerja-kerja menaikkan kontena yang berada di tepi jalan utama ke atas treler sebelum berlaku ketidakseimbangan sehingga menyebabkan lori bersama kontena terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan, namun operasi itu memerlukan bantuan kren daripada syarikat lori berkenaan.

Dua buah kren tiba di lokasi pada jam 9.21 malam bagi membantu mengangkat kontena yang menghempap kereta terbabit.

Selepas kenderaan berjaya dikeluarkan, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan 26 anggota BBP Kota Kinabalu itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Peruntukan RM18.7 bilion di Sabah merangkumi kos pengurusan – Masidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular