KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah akan mengemukakan cadangan penambahbaikan kemudahan dan keselamatan di Jalan Sepanggar susulan kemalangan yang mengorbankan dua beranak selepas dihempap kontena pada 18 Oktober lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Harris Ali berkata, tinjauan ke lokasi kejadian semalam dilakukan bagi menilai keadaan sebenar, mengenal pasti isu keselamatan serta meneliti langkah penambahbaikan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang.
Kemalangan itu berlaku apabila muatan kontena terbalik ketika proses pemindahan kontena ke atas sebuah treler sebelum menghempap Toyota Avanza yang dinaiki mangsa bersama anak perempuannya.
Tinjauan itu turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sabah, Erick Anak Jusiang, Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Misnan Tamimi serta 27 pegawai dan anggota JPJ Sabah.
Menurut Mohd Harris, hasil pemerhatian mendapati kawasan jalan raya berkenaan tidak sesuai dijadikan lokasi pemunggahan atau pemindahan kontena kerana keadaan jalan yang sempit.
“Aktiviti berkenaan sepatutnya dilakukan di dalam kawasan pelabuhan atau depot kontena yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“JPJ Sabah turut mendapati terdapat pengusaha yang meletakkan kontena di bahu jalan, termasuk di atas longkang, sehingga menimbulkan ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya selain berpotensi merosakkan infrastruktur jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam operasi khas yang dijalankan pada pada Isnin (19 Oktober) Mohd Harris betkata, sebanyak 65 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 109 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, kesalahan tertinggi membabitkan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan dalam keadaan yang boleh membahayakan, menghalang atau menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Kesalahan itu boleh membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan,” tegasnya.
Menurutnya, statistik penguatkuasaan JPJ Sabah di sekitar Jalan Sepanggar turut menunjukkan peningkatan jumlah notis daripada 397 pada 2025 kepada 486 pada 2026 setakat ini.
“Tindakan berterusan itu bertujuan menangani kesalahan parkir dan pemberhentian kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.
“JPJ Sabah akan membangkitkan kepada pihak berwajib keperluan mendesak menyediakan kawasan bersesuaian sebagai depot penyimpanan kontena, ruang menunggu kenderaan perdagangan serta lokasi pemunggahan muatan yang selamat,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, cadangan pemasangan bonggol jalan, pembaikan permukaan jalan, penambahbaikan pencahayaan dan pelebaran bahu jalan menuju ke Pelabuhan Sepanggar turut perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya pada waktu malam.
“JPJ Sabah merakamkan ucapan takziah atas kehilangan dua nyawa dalam kejadian berkenaan dan berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang,” katanya.


