HomeUtamaProjek IPD, perumahan polis Nabawan kukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan

Projek IPD, perumahan polis Nabawan kukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan

Read Time:2 Minute, 30 Second

NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di daerah Nabawan dan kawasan sekitarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek itu dengan siling peruntukan sebanyak RM150 juta dijangka bermula pada Januari 2027. 

“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan serta memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan warga PDRM.  

“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah Nabawan di sini pada Selasa. 

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun. 

Hajiji berkata pembinaan IPD Nabawan amat penting memandangkan kedudukan strategik daerah itu yang bersempadan dengan Indonesia, sekali gus menuntut keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram. 

Katanya, ancaman berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, berkesan dan berterusan, termasuk memperkukuh keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi anggota, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran. 

Beliau berkata, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan sejak 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah Nabawan mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi. 

“Dengan keluasan kawasan pentadbiran ini, keperluan terhadap struktur kepolisan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan keselamatan semasa amat wajar diberikan perhatian. 

“Pembangunan IPD Nabawan merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh kehadiran dan keupayaan perkhidmatan kepolisan di kawasan ini,” katanya. 

Projek ini juga adalah manifestasi keprihatinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek kebajikan, keselesaan, dan keselamatan anggota pasukan barisan hadapan, katanya.  

“Penyediaan infrastruktur yang kondusif, dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang kritikal, khususnya di kawasan sempadan,” katanya. 

Hajiji turut menegaskan bahawa keselamatan merupakan antara asas penting kepada pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan tidak mungkin dapat dicapai tanpa persekitaran yang aman, stabil dan selamat. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman seperti Nabawan mendapat perkhidmatan keselamatan yang lebih baik. 

Dalam konteks Daerah Nabawan, pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah ini mempunyai nilai strategik kerana bukan sahaja memenuhi keperluan PDRM, malah turut berkait rapat dengan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan mereka, katanya. 

“Kita mahu rakyat di Nabawan merasakan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.  

“Pada masa yang sama, kebajikan anggota PDRM juga perlu terus diberikan perhatian. 

Mereka berada di barisan hadapan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.  

“Justeru, penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang baik merupakan antara aspek penting dalam menyokong kebajikan serta keberkesanan tugas mereka,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa miliki pisau lipat di tempat awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular