KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 66 tahun yang sebelum ini dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun atas kesalahan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut, kini didenda RM8,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi.
Hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret.
Hakim Datuk Maslinda @ Linda Mohd Ainal menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret dan menggantikannya dengan hukuman denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan supaya sabitan terhadap Ismail direkodkan dan dicatatkan pada lesen memandunya.
Pada 4 November 2025, Ismail mengaku bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan yang dihadapinya sebelum diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama setahun mengikut Seksyen 173(A) Kanun Tatacara Jenayah.
Bon berjumlah RM10,000 tanpa deposit itu dikenakan dengan seorang penjamin tempatan.
Sekiranya Ismail atau penjaminnya melanggar syarat bon tersebut, jumlah bon berkenaan akan dilucuthakkan dan tindakan sewajarnya diambil.
Mengikut pertuduhan, Ismail melakukan kesalahan itu pada 26 Disember 2024, jam 2.50 petang, ketika memandu sebuah Perodua Axia dari Kemabong menuju ke Tenom.
Ketika melalui Kilometer 21, Jalan Tenom-Kemabong, Ismail hilang kawalan terhadap kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan yang ketika itu dilalui mangsa yang menunggang motosikal.
Kedua-dua kenderaan bertembung secara berhadapan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Timbalan Pendakwa Raya Sofia Sawayan mewakili pihak pendakwaan selaku perayu, manakala peguam Jagnesh Jaya mewakili Ismail selaku responden.



