HomeUtamaBBC cadang pembinaan fasiliti pelupusan dadah di Sabah

BBC cadang pembinaan fasiliti pelupusan dadah di Sabah

Read Time:2 Minute, 6 Second

SANDAKAN: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah mencadangkan pembinaan fasiliti pelupusan dadah dan bahan terlarang di negeri ini bagi mengurangkan kos logistik serta risiko keselamatan sekiranya bahan rampasan perlu dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dilupuskan.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil kira jumlah rampasan dadah dan bahan kimia terlarang oleh pihak berkuasa di Sabah yang mencecah kuantiti besar setiap tahun.

Menurutnya, pembinaan fasiliti berkenaan bukan sahaja dapat menjimatkan kos pengangkutan, malah membolehkan proses pelupusan dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Telupid/Tongod di sebuah hotel di sini, pagi tadi.

“BBC melihat bahan terlarang yang dirampas pihak berkuasa, termasuk dadah dan bahan kimia di Sabah, mempunyai kuantiti yang besar. Ia satu pembaziran jika bahan berkenaan perlu diangkut ke Semenanjung Malaysia untuk dilupuskan.

“Jika KDN bersetuju, BBC bersedia memainkan peranan bersama kerajaan negeri dalam penyediaan tapak tanah bagi cadangan pembinaan fasiliti itu,” katanya.

Masiung berkata, rampasan bahan terlarang oleh pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), setiap tahun menunjukkan keperluan terhadap kemudahan berkenaan.

Wakil rakyat Kuamut itu berkata, penghantaran bahan rampasan melalui laluan laut untuk tujuan pelupusan turut melibatkan kos tinggi selain berpotensi menimbulkan risiko terhadap integriti rantaian pengangkutan dan pengurusan bahan berkenaan.

Katanya, pengendalian bahan berkenaan memerlukan pengangkutan khas serta kawalan keselamatan ketat, sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan.

Beliau turut mengaitkan keperluan itu dengan kedudukan strategik Sabah yang berada di kawasan sempadan antara Malaysia, Filipina dan Indonesia, menjadikan negeri ini antara laluan yang berpotensi dieksploitasi sindiket penyeludupan dadah.

Sehubungan itu, katanya, penubuhan pusat pelupusan setempat di Sabah dapat mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti di Negeri Sembilan, selain menangani risiko penyimpanan bahan rampasan dalam tempoh yang lama.

“Penyimpanan dadah dalam kuantiti besar untuk tempoh lama di stor kontinjen Sabah boleh meningkatkan risiko dalam rantaian pengurusan bahan berkenaan.

“Dengan adanya pusat pelupusan di Sabah, bahan terlarang seperti dadah dan bahan kimia boleh dilupuskan dengan segera sebaik sahaja mendapat perintah mahkamah,” katanya.

Masiung berkata, statistik rampasan dadah di Sabah yang mencecah jutaan ringgit hampir setiap bulan turut mengukuhkan keperluan pembinaan fasiliti pelupusan khusus di negeri ini.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada Sekolah Kebangsaan Inarad, Tongod sebagai kemudahan sokongan pentadbiran sekolah berkenaan.

Kenderaan itu disumbangkan oleh Borneo Cement Sabah Sdn Bhd menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat pengeluar klinker dan simen itu yang kini dalam proses pembinaan.

RELATED ARTICLES
Utama

285 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular