KOTA KINABALU: Seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.
JIM Sabah memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa kesemua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar melalui Pelabuhan ICQS Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina, menggunakan feri komersial pada 22 Oktober lalu.
Mereka terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 71 perempuan dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan 45 kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 63 tahun.
Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam program pemindahan itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
Sebelum itu, pada 20 Oktober lalu, dua lelaki dewasa warga China turut dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Guangzhou, China, melalui laluan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Menurut jabatan itu, sehingga kini, seramai 6,417 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah berkenaan, 4,288 orang merupakan warga Filipina, 1,789 warga Indonesia, 137 warga Pakistan, 141 warga China, 29 warga Vietnam dan 33 lagi warga negara lain.
Jabatan itu memaklumkan bahawa kesemua tahanan PATI berkenaan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Document) yang sah bagi membolehkan mereka dipindahkan ke negara asal.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan program pemindahan tahanan PATI ke negara asal, termasuk melalui laluan laut bagi tahun 2026.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kegiatan PATI melalui saluran rasmi jabatan berkenaan.



