KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh penyelarasan bagi menjamin kestabilan bekalan serta harga ayam dan telur di negeri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu menjadi fokus Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia Sabah, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bersama wakil jabatan dan agensi berkaitan.
Menurut Armizan, mesyuarat berkenaan meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, selain membincangkan penyelarasan tindakan antara kedua-dua kerajaan.
Katanya, perbincangan turut merangkumi usaha memperkukuh peraturan berkaitan serta meneliti aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan.
“Peranan agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), termasuk agensi serta pihak berkepentingan lain di peringkat negeri, perlu diselaraskan dengan KPDN di peringkat Persekutuan berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing.
“Penyelarasan ini penting supaya isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga serta penguatkuasaan, sekali gus memastikan bekalan ayam dan telur ayam di Sabah kekal stabil serta dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
“Ini juga menjadi asas kepada mekanisme lebih berkesan dalam menangani isu bekalan dan harga melalui perkongsian maklumat, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Armizan lagi, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah kekal terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan.



