BERNAMA
SANDAKAN : Jabatan Imigresen (JIM) Sabah akan melaksanakan enam siri skala besar penghantaran pulang pendatang tanpa izin warga Filipina yang berada di depot imigresen di negeri itu.
Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata perancangan itu melibatkan 800 orang setiap minggu bermula hari ini yang membantu mengurangkan kesesakan di depot dan membolehkan operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
“Kita berharap pihak kedutaan Filipina memberi kerjasama untuk mengeluarkan dokumen perjalanan kepada tahanan secepat mungkin bagi membolehkan mereka dihantar dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau penghantaran pulang warga asing di Pelabuhan Sandakan di sini pada Khamis.
Sh Sitti Saleha berkata mereka menyasarkan warga asing itu dapat keluar dari Sabah dalam tempoh sebulan selepas diserahkan oleh pihak berkuasa atau tamat menjalani hukuman.
Setakat hari ini, beliau berkata sebanyak 5,357 tahanan Filipina dihantar pulang termasuk 800 daripada Depot Imigresen Tawau, Sandakan serta Papar yang dihantar pulang hari ini.
Mereka terdiri daripada 590 lelaki, wanita (88), kanak-kanak lelaki (64) serta perempuan (58) berusia 16 hari hingga 83 tahun yang dihantar pulang ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“Pada 27 Okt , 269 tahanan Filipina daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dihantar pulang melalui Pelabuhan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Keselamatan (iCQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao menjadikan mereka dihantar pulang pada minggu ini kepada 1,069 orang,” katanya.
Sementara itu, Sh Sitti Saleha berkata dari awal tahun hingga hari ini, JIM Sabah menghantar pulang sebanyak 7,490 pendatang tanpa izin termasuk dari Indonesia, China dan Vietnam ke negara asal.
Beliau berkata Depot Imigresen Sandakan turut melaksanakan penghantaran pulang seorang lelaki masing-masing dari Nepal dan India serta dua Pakistan melalui Lapangan Terbang Sandakan ke negara asal mereka.- BERNAMA



