PUCHONG: Kira-kira 40,000 ekor ayam yang diproses setiap hari di sebuah kilang sembelihan di Puchong, Selangor, kini menjadi perhatian pihak berkuasa selepas pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan dipercayai mati akibat kejutan elektrik sebelum sempat disembelih mengikut hukum syarak.
Lebih membimbangkan, ayam yang diproses di premis terbabit dipercayai telah memasuki rantaian bekalan makanan pengguna, termasuk restoran, pasar raya dan kedai runcit di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras serta Bangi.
Pendedahan itu sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai status halal bekalan ayam berkenaan, khususnya kepada pengguna Islam yang mungkin tidak mengetahui sumber sebenar produk yang dibeli atau dimakan.
Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah kejutan elektrik dalam proses pengendalian ayam sebelum penyembelihan dilakukan.
Menurutnya, kaedah itu dipercayai menyebabkan ayam mati terlebih dahulu, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pematuhan syarat penyembelihan halal.
Lebih mengejutkan, semua pekerja yang menjalankan aktiviti penyembelihan di premis berkenaan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki sijil perakuan penyembelihan haiwan.
Pemilik kilang itu pula dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an.
Sementara itu, semalam Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, berkata siasatan awal mendapati premis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik atau water bath stunning dengan kadar voltan yang dipercayai terlalu tinggi.
Keadaan itu menyebabkan ayam dipercayai mati serta-merta sebelum melalui proses sembelihan.
Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati pusat penyembelihan ayam yang telah beroperasi sejak 2004 itu dimiliki oleh seorang individu beragama Islam dan membekalkan ayam yang diproses kepada restoran milik pengusaha Islam.
“Ini merupakan perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan kami akan memastikan tindakan tegas diambil. Syarikat ini telah beroperasi sejak sekian lama, iaitu lebih 20 tahun,” katanya.
“Ini seolah-olah mereka menyembelih bangkai dan bukan lagi ayam hidup seperti mana diperlukan mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.
Menurut Salehuddin, perkara itu amat serius kerana haiwan yang mati sebelum disembelih tidak memenuhi syarat penyembelihan halal menurut hukum syarak.
Situasi itu menimbulkan persoalan bagaimana operasi penyembelihan yang disyaki tidak mematuhi syarat halal boleh berlangsung begitu lama sebelum dikesan pihak berkuasa.
Salehuddin turut mempersoalkan bagaimana pengguna Islam boleh terdedah kepada bekalan ayam yang diragui status halalnya, sedangkan pematuhan kaedah penyembelihan merupakan keperluan asas dalam industri makanan halal.
Dalam serbuan menerusi Ops Taring Chiller, pihak berkuasa merampas lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal.
Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Operasi pemeriksaan melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Susulan penemuan itu, pihak berkuasa mengarahkan premis terbabit ditutup selama dua minggu di bawah peruntukan kesihatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Salehuddin turut menggesa semua pengusaha restoran yang menerima bekalan ayam daripada syarikat berkenaan supaya menghentikan penggunaannya serta-merta sehingga status produk itu dapat dipastikan.
Beliau turut menasihatkan pengguna Islam dan pengusaha makanan supaya lebih berhati-hati dengan memastikan sumber bekalan ayam mempunyai pengesahan halal yang sah.
Kes berkenaan bukan sekadar membangkitkan isu pematuhan prosedur penyembelihan, malah turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan terhadap rantaian bekalan makanan halal, khususnya operasi pembekal yang telah beroperasi selama puluhan tahun.
Bagaimanapun, status halal keseluruhan produk yang pernah diedarkan oleh premis terbabit masih tertakluk kepada hasil siasatan dan pengesahan pihak berkuasa berkaitan.



