BEAUFORT: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah, sebagai komitmen berterusan membendung ancaman penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan berjumlah RM2.3 juta itu diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) bagi 2026, selain pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Beliau berkata, pembangunan Sabah bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur, tetapi turut bergantung kepada kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan masa depan generasi muda.
“Ancaman dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan individu, malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta produktiviti negeri.
“Di sebalik setiap angka yang direkodkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan Penutupan Festival Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.
Hajiji berkata, berdasarkan statistik AADK sehingga Jun 2026, seramai 130,307 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara, menurun 3.4 peratus berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun lalu.
Di Sabah, katanya seramai 5,269 individu direkodkan dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Walaupun terdapat penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl,” katanya.
Beliau berkata, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius kerana mereka antara penggerak utama pembangunan negeri. Sekiranya golongan itu terjerumus dalam penyalahgunaan dadah, kesannya bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka, malah turut merugikan keluarga, ekonomi dan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata, tiga strategi utama perlu diberikan penekanan bagi memastikan ancaman dadah dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Strategi pertama ialah memperkukuh keluarga dan komuniti sebagai benteng utama pencegahan dadah, termasuk peranan ibu bapa memantau pergaulan, memahami perubahan tingkah laku anak-anak serta membina komunikasi terbuka dalam keluarga.
“Pada masa sama, pemimpin masyarakat, persatuan belia dan sukarelawan perlu memperluas aktiviti positif bagi membina jati diri serta melindungi golongan muda daripada pengaruh dadah,” katanya.
Hajiji berkata, usaha itu juga perlu menjangkau kawasan luar bandar, pedalaman dan pulaupulau supaya faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan antidadah, intervensi awal dan perkhidmatan kerajaan.
“Strategi kedua ialah mempertingkat penguatkuasaan serta kerjasama bersepadu antara agensi, termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan menerusi perkongsian maklumat, risikan serta operasi bersepadu bagi membanteras pengedaran dadah dan memutuskan rangkaian sindiket,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas terhadap pengedar dan sindiket perlu dilaksanakan seiring usaha pencegahan dan intervensi awal bagi membendung bekalan dadah, mengurangkan permintaan serta mencegah kes baharu.
“Strategi ketiga pula ialah memperluas akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan supaya individu yang berhadapan masalah penagihan dapat kembali berdikari serta menjalani kehidupan produktif.
“Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah, namun pada masa sama memberikan ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih. Mereka tidak seharusnya terus dibebani stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, mereka perlu dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, antara inisiatif AADK Sabah yang dilaksanakan termasuk Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Program Komuniti MADANI FELDA Sejahtera, Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD), Moto Day 9.0 dan Ops Cegah Khas, selain tindakan berfokus di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
Hajiji berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, AADK, agensi penguatkuasaan dan masyarakat dapat diterjemahkan kepada tindakan terselaras serta berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata, penganjuran semula festival itu dapat menghidupkan kembali suasana serta tradisi kesenian Bagandang yang sinonim dengan masyarakat Beaufort, selain memperkenalkannya kepada masyarakat seluruh Sabah, ia juga menjadi landasan mempersiapkan daerah Beaufort menyambut Tahun Melawat Sabah 2027, selain memberi impak ekonomi dan sosial kepada masyarakat menerusi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan melalui gerai jualan dan pasar tamu.
Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyerahkan 247 geran tanah berkeluasan keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung.
Daripada jumlah itu, sebanyak 24 geran adalah geran PANTAS melibatkan keluasan 77.51 ekar, manakala baki 223 geran lagi adalah geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa dengan keluasan 811.7 ekar.



