Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bapa yang mendakwa terpaksa menipu akibat kesempitan hidup ketika pandemik Covid-19 dipenjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Sang Fazar Bunjing, 42, menangis ketika merayu hukuman ringan selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki sebanyak RM12,300 dalam urusan pembelian kereta.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan memerintahkan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap semula pada 15 Ogos lalu.
Sang Fazar memberitahu mahkamah bahawa keluarganya menghadapi kesusahan ketika pandemik Covid-19, selain bapanya sakit dan meninggal dunia dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya sepanjang berada dalam penjara, dia tidak dapat membayar yuran tuisyen anak-anaknya.
“Saya minta hukuman diringankan supaya saya dapat meneruskan kehidupan dan membantu anak-anak saya. Bagi saya peluang supaya saya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa,” rayunya.
Mengikut pertuduhan, Sang Fazar memperdayakan seorang lelaki supaya membeli sebuah Proton Saga FLX sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM12,300 kepadanya di Kampung Air, di sini, pada 20 Mac 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, mangsa terbaca iklan jualan kereta di Facebook Marketplace sebelum menghubungi tertuduh yang menawarkan sebuah Proton Saga FLX automatik berwarna emas pada harga RM12,300.
Mangsa kemudian menandatangani perjanjian jual beli di hadapan seorang jaksa pendamai dan menyerahkan wang tunai RM12,300 kepada tertuduh sebelum menerima kereta berkenaan bersama kad pendaftarannya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian didatangi dua lelaki di Terminal Inanam, termasuk seorang yang merupakan pemilik kenderaan itu, dan dimaklumkan bahawa kereta berkenaan mempunyai tunggakan hutang serta terpaksa ditarik.
Pegawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan barang kes dikembalikan kepada pemilik yang sah selepas tamat tempoh rayuan selama 14 hari.



