HomeUtamaPeniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda sehingga RM100,000 – Armizan

Peniaga kenakan caj tersembunyi berdepan denda sehingga RM100,000 – Armizan

Read Time:2 Minute, 23 Second

KUALA LUMPUR: Peniaga yang mengenakan caj tambahan atau tersembunyi tanpa memaklumkannya lebih awal kepada pengguna boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM100,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, amalan memaklumkan caj tambahan hanya pada peringkat akhir transaksi merupakan perbuatan mengelirukan yang menjejaskan hak pengguna untuk mengetahui harga sebenar sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 10B(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), yang mewajibkan semua cukai, duti dan caj lain dimasukkan dalam harga yang dipaparkan atau diiklankan.

Menurutnya, pengguna berhak mengetahui jumlah sebenar yang perlu dibayar sejak awal transaksi dan bukannya hanya dimaklumkan mengenai caj tambahan ketika membuat pembayaran.

“Prinsip itu turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta urus niaga e-dagang dan perkhidmatan penghantaran.

“Garis panduan berkenaan menghendaki harga akhir yang dipaparkan mengambil kira semua komponen berkaitan, termasuk harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna mengesahkan tempahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Ishlahuddin Abas (Mersing) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen berkenaan meminta penjelasan mengenai tindakan KPDN membendung amalan mengenakan caj tambahan atau tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi sehingga menyebabkan harga sebenar melebihi harga yang dipaparkan atau diiklankan.

Armizan berkata, peniaga yang melanggar Seksyen 10B Akta 723 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 akta sama.

“Bagi kesalahan melibatkan pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, Kementerian turut mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), khususnya Seksyen 12(1)(a) yang melarang peniaga memberikan gambaran mengelirukan berhubung harga barangan atau perkhidmatan,”‘jelasnya.

Jelas Armizan lagi, Seksyen 12(3)(c) akta berkenaan turut memperuntukkan bahawa paparan harga yang memberikan tanggapan seolah-olah merangkumi semua kos, sedangkan terdapat caj tambahan yang dikenakan secara berasingan, dianggap sebagai gambaran mengelirukan.

“Peruntukan itu turut terpakai kepada urus niaga secara elektronik, sekali gus meliputi peniaga dalam talian yang memaparkan harga tidak selaras dengan jumlah sebenar yang perlu dibayar pengguna.

“Pelanggaran peruntukan berkenaan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145 Akta 599, dengan denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi memastikan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat di premis perniagaan.

“KPDN akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan penzahiran harga,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Armizan turut menggesa pengguna menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mengesan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan jumlah yang akhirnya dikenakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Dakwa terdesak ketika Covid-19, bapa dipenjara 13 bulan kerana menipu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular