KOTA KINABALU: Seorang pekerja tapak pembinaan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pengurus keselamatan (Safety Manager).
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faisal Umar, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah, pada Rabu.
Mohd Faisal telah mencederakan mangsa yang berasal dari China di sebuah tapak pembinaan di sini pada 30 Oktober lalu sekitar 8.30 pagi.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas ditumbuk pada bahagian mulut sehingga pengsan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dalam dan luar bibir serta kesan calar pada lengan kanan.
Susulan laporan polis itu, tertuduh ditahan di Jalan Pahlawan di sini sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Mohd Faisal tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri.



