PENAMPANG: Borneo Inclusive Ensemble (BIE) dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu mencipta pengalaman persembahan bermakna apabila menghimpunkan murid daripada tiga kategori ketidakupayaan menerusi pentas North Borneo Rainforest Festival (NBRF) 2026 International Edition.

Persembahan itu menggabungkan murid ketidakupayaan pendengaran dan masalah pembelajaran dari SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu bersama murid ketidakupayaan penglihatan dari SMK Badin, Tuaran, dalam satu persembahan muzik yang menonjolkan bakat, kreativiti dan kerjasama mereka.

Festival yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November 2026 di Koisaan Cultural Village dan Hongkod Koisaan Hall, KDCA, Penampang itu bertemakan “Misoloot Sopisupi” dan menghimpunkan pelbagai komuniti seni serta delegasi antarabangsa.

Guru pembimbing dan pengurus BIE, Stefanus Lucas, berkata penyertaan itu bukan sekadar bertujuan menghasilkan persembahan yang sempurna, sebaliknya memberikan peluang kepada murid merasai kegembiraan, membina keyakinan dan berbangga dengan bakat yang dimiliki.
Katanya, pendekatan itu selari dengan mottonya, “Focus on Ability, not Disability”, yang menekankan kepentingan melihat kemampuan, potensi dan kekuatan seseorang murid, bukannya menjadikan ketidakupayaan sebagai penghalang untuk berkembang.
“Dalam persembahan berkenaan, BIE membawakan tiga lagu yang mewakili kepelbagaian warisan muzik Borneo, iaitu Kansayan Sumuku daripada etnik Murut, Liling-liling daripada etnik Orang Ulu, Sarawak dan Jambatan Tamparuli daripada etnik Dusun.
“Persembahan itu menampilkan gabungan instrumen tradisional seperti angklung, dram buluh, gong dan gendang yang menghasilkan susunan muzik tersendiri menerusi koordinasi, pergerakan serta penghayatan ritma oleh murid,”:katanya dalam.kenyataan hari ini.
Stefanus berkata, bagi murid ketidakupayaan pendengaran, penghayatan muzik dibentuk melalui pendekatan yang menggabungkan isyarat visual, pergerakan, getaran dan pengalaman bermain instrumen.
“Murid ketidakupayaan penglihatan pula mengambil bahagian dalam permainan muzik dan perkusi, manakala murid masalah pembelajaran terlibat mengikut keupayaan serta peranan masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, keunikan persembahan itu turut terserlah apabila BIE berkongsi pentas dengan kumpulan persembahan serta delegasi dari Guam, Taiwan, Filipina dan Indonesia menerusi segmen Cultural Showcase pada hari pertama festival.
“Penyertaan itu sekali gus membuka peluang kepada murid memperkenalkan warisan muzik Sabah kepada pengunjung antarabangsa, selain memperoleh pengalaman membuat persembahan dalam acara kebudayaan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi pihak BIE, Stefanus merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Pertubuhan Kolektif Seni Budaya Sabah, Juliana Blasius Aping, serta penganjur bersama NBRF, Daniel Felix, atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada kumpulan itu untuk membuat persembahan.
“Penghargaan turut diberikan kepada Guru Besar SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Muhammad Hamka Eallie, dan Pengetua SMK Badin, Voo Hon Min @ Mohd Amin, atas sokongan serta komitmen dalam memastikan murid berpeluang menyertai pengalaman seni dan budaya berkenaan.
“BIE turut menghargai kerjasama pihak pentadbiran dan guru pengiring kedua-dua sekolah yang memainkan peranan penting dalam aspek persediaan, pengurusan serta pengiringan murid sepanjang festival berlangsung,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sokongan turut diterima daripada penyumbang, rakan komuniti dan masyarakat awam, termasuk Chanteek Borneo, Gerid’s Kitchen, Housia Cafe, Datuk Ceaser Mandela Malakun serta alumni SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu.
Menurutnya, sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk kewangan, makanan, pakaian, tenaga, masa dan sokongan moral membantu memastikan kelancaran penyertaan kumpulan itu.
Katanya, penyertaan di NBRF 2026 menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat BIE dalam usaha mengembangkan bakat seni murid berkeperluan pendidikan khas, selain memperkenalkan muzik tradisional Sabah kepada khalayak lebih luas.
“BIE berharap pengalaman itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada murid berkeperluan pendidikan khas untuk menyertai kegiatan seni dan budaya di peringkat tempatan, kebangsaan serta antarabangsa.
“Berteraskan slogan “Focus on Ability, not Disability”, BIE akan terus menyediakan ruang kepada murid untuk berkarya, mengembangkan potensi dan menyerlahkan kemampuan masing-masing menerusi muzik,” katanya.



