HomeUtamaSabah perluas program santuni ibu tunggal di Semenanjung

Sabah perluas program santuni ibu tunggal di Semenanjung

Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh Ahmad Fazlan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah bercadang meneruskan dan memperluas program menyantuni ibu tunggal asal negeri itu yang menetap di Semenanjung Malaysia bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terus terbela.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, program julung kali dianjurkan di Kuala Lumpur itu berjaya mengenal pasti kira-kira 80 ibu tunggal yang masing-masing menerima bantuan tunai RM500.

Menurutnya, jumlah berkenaan bukan gambaran keseluruhan ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Semenanjung memandangkan kerajaan negeri masih belum mempunyai data lengkap mengenai golongan itu.

“Kita belum mempunyai data berapa ramai ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Semenanjung, tetapi menerusi program kali ini kita berjaya mengenal pasti kira-kira 80 orang.

“Saya yakin jumlahnya lebih ramai dan kita bercadang meneruskan program ini pada tahun-tahun akan datang dengan menyantuni kumpulan ibu tunggal yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menyantuni Ibu Tunggal Asal Sabah yang Menetap di Kuala Lumpur di Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong dan Pengarah Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, Dayang Norsiah Duraman.

Julita berkata, pihaknya turut menggalakkan ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Semenanjung supaya lebih proaktif mendapatkan maklumat mengenai pelbagai bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan Persekutuan.

Katanya, golongan berkenaan tidak seharusnya melepaskan peluang menikmati kemudahan itu kerana mereka juga mempunyai kelayakan sebagai rakyat Malaysia.

“Program yang dilaksanakan kerajaan Sabah kebanyakannya memerlukan penglibatan secara fizikal di negeri ini, jadi mungkin agak sukar untuk mereka yang menetap di sini menyertainya.

“Bagaimanapun, terdapat lebih banyak peluang dan inisiatif kerajaan Persekutuan yang berpusat di sini dan mereka perlu mengambil inisiatif mendapatkan maklumat mengenainya,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Fatimah Mamat, 34, dari Semporna berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna dalam membantu meringankan beban kehidupannya sebagai ibu tunggal yang membesarkan empat anak.

Katanya, dia yang menetap di Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu bekerja sebagai polis bantuan di sebuah universiti swasta bagi memastikan keperluan anak-anaknya terus terjaga.

“Sebagai ibu tunggal, kita bekerja keras untuk masa depan anak-anak. Penat lelah itu tidak diambil kira kerana anak-anak menjadi penguat semangat untuk terus berusaha,” katanya.

Seorang lagi penerima, Diana Totong dari Kudat berkata, bantuan itu amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama dia menerima bantuan khusus untuk ibu tunggal daripada kerajaan Sabah sejak menetap di Kuala Lumpur kira-kira 23 tahun lalu.

Katanya, selepas kematian suami, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai pemandu e-hailing sebelum kini mengambil upah menghantar murid sekolah selain bekerja sambilan di gudang.

“Saya sangat gembira kerana kerajaan Sabah ingat kami ibu tunggal yang berada di Kuala Lumpur.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan seperti ini dan terima kasih kepada kerajaan Sabah kerana tidak melupakan kami di sini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Media rakan penting PDRM menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat – Jauteh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular