KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki 30 gram dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Fariszan Rosdi, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, kelmarin.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Fariszan didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah bilik rumah di Jalan Penampang pada 5 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 39A(2)(r) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2), semuanya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung dua adiknya yang masih bersekolah, manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa.
Dia turut memohon supaya hukuman penjaranya bermula dari tarikh tangkapan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan terhadap tertuduh.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Mohamad Fariszan sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan memiliki ketamin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya.



