KOTA KINABALU: Dua lelaki yang dikaitkan dengan ‘Geng Gurun’ masing-masing dipenjara 11 tahun dan dikenakan empat sebatan kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan membabitkan kerugian RM105,000.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Sahiron Redzgilul, 34, dan Cyril John Paniah, 43, selepas kedua-duanya mengekalkan pengakuan bersalah pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, Cyril dan Sahiron bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Austral, kira-kira jam 6.45 pagi pada 27 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada seorang diri di rumah.
Sahiron mengacukan pemutar skru ke arah mangsa sambil mengugut dan meminta wang daripadanya.
Sahiron bersama Cyril dan rakan sejenayah yang masih bebas kemudian menyelongkar rumah itu serta mengambil pelbagai barangan berharga.
Kumpulan berkenaan turut merosakkan pintu ruang tamu sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta, menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM105,000.
Pada 10 September lalu, Sahiron berjaya ditahan di Menggatal selepas berlaku pergelutan ketika dia cuba melarikan diri.
Susulan tangkapan itu, Sahiron membawa polis ke sebuah rumah di Inanam dan menunjukkan barang kes berupa sebuah konsol permainan Nintendo Switch 2 bersama pengecasnya.
Polis turut menahan Cyril berhubung kes sama sebelum menemukan beberapa barangan termasuk dua beg, sebuah dompet dan sehelai jaket yang digunakan ketika kejadian samun.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim.



