HomeUtamaMedia rakan penting PDRM menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat – Jauteh

Media rakan penting PDRM menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat – Jauteh

Read Time:2 Minute, 50 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Peranan media sebagai penyampai maklumat sahih, tepat dan pantas kepada masyarakat amat penting dalam menyokong tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam memastikan usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman awam difahami masyarakat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kerjasama erat antara PDRM dan pengamal media bukan sahaja membantu menyebarluaskan maklumat mengenai tindakan serta program kepolisan, malah berperanan membentuk persepsi positif dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap tanggungjawab pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata, tanpa peranan media, pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan PDRM mungkin hanya diketahui masyarakat di kawasan tertentu, sekali gus menyukarkan penyampaian maklumat dan pendidikan kepada orang ramai secara menyeluruh.

“Media merupakan sesuatu yang amat penting. Media merupakan pemandu yang menentukan arah tuju. Walaupun peranan itu mungkin nampak kecil, hasilnya boleh membangunkan negara, mengamankan negara dan pada masa sama memberi kesan besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Media Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.

Jauteh menyampaikan sijil penghargaan kepada dua orang wartawan Sabah Media Mimie dan Erdie pada majlis itu.

Jauteh berkata, perkembangan media telah mengubah landskap penyampaian maklumat berbanding era terdahulu yang banyak bergantung kepada penyampaian dari mulut ke mulut sehingga mengambil masa lama dan berisiko menimbulkan salah faham serta persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, penyebaran maklumat yang benar dan pantas membantu membina kefahaman lebih baik, sekali gus merapatkan jurang persepsi antara kaum dan masyarakat di kawasan berbeza.

Menurutnya, dalam konteks penugasan PDRM, media menjadi rakan strategik yang membantu memastikan mesej berkaitan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan jenayah sampai kepada kumpulan sasaran.

Beliau turut menegaskan kepentingan ketepatan maklumat dalam memastikan keberkesanan penyampaian sesuatu mesej, kerana kelengkapan peralatan dan logistik semata-mata tidak memadai sekiranya maklumat yang disampaikan kepada masyarakat tidak tepat.

Pada masa sama, Jauteh mengingatkan pengamal media supaya terus mempertahankan etika kewartawanan dengan memastikan setiap laporan dibuat berdasarkan fakta, bukannya persepsi atau petikan kenyataan yang boleh mengubah maksud sebenar sesuatu ucapan.

Beliau berkongsi pengalaman apabila sebahagian ucapannya pernah dipotong dan disebarkan menerusi TikTok sehingga menimbulkan salah faham serta menjejaskan reputasinya.

Bagaimanapun, katanya, beliau memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang selepas mendapat penjelasan daripada rakan media yang mempunyai rakaman penuh ucapan berkenaan sebagai bukti konteks sebenar kenyataannya.

Katanya, pengalaman itu memperlihatkan kepentingan integriti dan profesionalisme wartawan dalam memastikan sesuatu isu dilaporkan secara adil dan tepat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen pengamal media yang sentiasa bersama PDRM membuat liputan dalam pelbagai keadaan, termasuk ketika berdepan cuaca panas dan hujan serta cabaran di lapangan.

Beliau menyifatkan pengorbanan media dan anggota polis dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai satu bentuk kerjasama penting dalam menjamin keselamatan negara.

Jauteh yang akan bersara pada 11 November ini turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada pengamal media sekiranya terdapat kekurangan atau kekhilafan sepanjang hubungan kerjasama dengan pihak PDRM, termasuk kelemahan dalam penyampaian jemputan atau maklumat kepada organisasi media tertentu.

Beliau berkata, sokongan media sepanjang tempoh perkhidmatannya di Sabah, khususnya dalam membantu menyampaikan maklumat, memberi pendidikan kepada masyarakat dan melaporkan pelaksanaan tugas PDRM, amat dihargai.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana telah membantu PDRM sepanjang saya bertugas di Sabah. Segala sokongan yang diberikan bukan sahaja kepada diri saya, tetapi kepada seluruh pasukan PDRM amat saya hargai,” katanya.

Jauteh turut berharap hubungan baik antara PDRM dan media akan terus diperkukuh demi memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab.

RELATED ARTICLES
Utama

Rompak berkumpulan: Dua lelaki dipenjara 11 tahun, empat sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular