HomeUtamaCalon SPM perlu peka perubahan cuaca, risiko banjir – Arif

Calon SPM perlu peka perubahan cuaca, risiko banjir – Arif

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di Sabah diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka terhadap perubahan cuaca ketika menduduki peperiksaan yang dijadualkan berlangsung kira-kira dua minggu lagi.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, calon perlu membuat persediaan rapi termasuk mengulang kaji pelajaran selain mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Arif Sakaran

Menurutnya, calon khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta mengelakkan diri daripada mengunjungi kawasan yang boleh membahayakan keselamatan.

“Saya menasihati pelajar supaya sentiasa peka kepada keadaan cuaca yang berubah-ubah, terutama di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir.

“Elakkan pergi ke tempat-tempat yang boleh membahayakan diri kerana kita mahu semua pelajar berada dalam keadaan selamat dan sihat semasa menduduki peperiksaan SPM nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Arif berkata, pelajar khususnya yang tinggal di pulau mempunyai peluang menikmati kemudahan pendidikan setara dengan murid di sekolah lain, sekali gus membuktikan lokasi sekolah bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Beliau berkata, semua pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarnya mendapat akses kepada kemudahan dan fasiliti pendidikan serta bimbingan guru berkemahiran tanpa mengira kedudukan sekolah.

Menurutnya, murid yang bersekolah di kawasan pulau juga berpeluang menerima pendidikan berkualiti seperti pelajar di kawasan lain.

“Saya fikir pelajar di Pulau Gaya ini sentiasa mendapat pendidikan yang sama seperti sekolah-sekolah lain. Di bawah Kementerian Pendidikan, saya yakin semua pelajar di mana-mana lokasi sekolah akan sentiasa mendapat kemudahan, fasiliti serta guru-guru yang mahir dalam mendidik mereka,” katanya.

Arif berkata, sokongan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak terus bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan, meskipun bersekolah di kawasan pulau.

Beliau berharap murid yang menamatkan persekolahan Tahun Enam akan terus berusaha dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah demi membina masa depan lebih baik. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penunggang motosikal maut langgar penghadang jalan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular