SEMPORNA: Dua pelancong warga China dan seorang kru bot cedera ringan selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar sebuah bot pelancong lain di perairan Pulau Singamata, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.12 pagi ketika bot yang membawa lapan penumpang warga China itu dalam perjalanan dari Jeti Seafest menuju ke Pulau Bohey Dulang.
Menurutnya, bot berkenaan yang dikendalikan seorang juragan bersama tiga kru terpaksa berhenti di perairan Pulau Singamata selepas enjinnya tersangkut sampah.
“Semasa usaha membuang sampah itu, bot berkenaan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah bot pelancong lain yang dipandu seorang juragan bersama seorang kru.
“Perlanggaran itu mengakibatkan dua pelancong warga China, masing-masing seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun, serta seorang kru bot mengalami kecederaan ringan.
“Bot berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang, manakala kru bot yang melanggar tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot itu juga tidak mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan.
Tan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu bot di sebuah syarikat pelancongan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahuan dengan gopoh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis turut menasihatkan pemandu atau juragan bot supaya berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh menyebabkan kecederaan atau bencana kepada penumpang dan pengguna pengangkutan air lain.



