HomeSukanSukan karom mampu perkukuh perpaduan, cegah gejala negatif dalam komuniti

Sukan karom mampu perkukuh perpaduan, cegah gejala negatif dalam komuniti

Read Time:2 Minute, 41 Second

TUARAN: Aktiviti sukan dan rekreasi mampu menjadi medium berkesan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta membentuk komuniti yang sihat dan bebas daripada gejala negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Tuaran merangkap Pengerusi Penganjur, Muhamad Zaineh Jali berkata, penganjuran pertandingan sukan seperti karom bukan sekadar memberi ruang kepada masyarakat mengembangkan bakat, malah membuka peluang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta.

Zaineh

Katanya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti positif perlu terus digalakkan sebagai salah satu pendekatan membina persekitaran komuniti yang lebih sihat, aktif dan harmoni.

Menurutnya, usaha memperkukuh komuniti serta mencegah penyalahgunaan dadah tidak seharusnya tertumpu kepada pendekatan kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu disokong menerusi aktiviti sukan, rekreasi dan kemasyarakatan.

“Melalui aktiviti seperti ini, masyarakat dapat bersama-sama melibatkan diri dalam program yang bermanfaat, selain membina semangat kerjasama dan persaingan secara sihat.

“Kita mahu sukan menjadi salah satu platform menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan belia dan komuniti menyertai aktiviti positif,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena penganjuran Pertandingan Karom Bergu Terbuka Malaysia Piala Ketua Menteri Sabah 2.0 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali yang juga Timbalan Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, bersama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Noorazmahirah Noor Zain.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari berakhir 8 November lalu itu dianjurkan JKPD Tuaran dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tuaran telah berjaya menghimpunkan pemain dari Sabah, Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

Penyertaan merentas wilayah itu sekali gus menjadikan kejohanan berkenaan platform memperluaskan jaringan persahabatan serta pertukaran pengalaman dalam kalangan pemain karom.

Muhamad Zaineh berkata, kerjasama antara JKPD Tuaran dan Kelab Sukan dan Rekreasi Tuaran dalam menjayakan program itu turut memperlihatkan kepentingan penglibatan pelbagai pihak dalam melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa penganjur, pengadil, petugas, penaja dan rakan strategik atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sehingga kejohanan berkenaan berjaya dilaksanakan.

Katanya, pihak penganjur berharap pertandingan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperluaskan penyertaan masyarakat, mencungkil bakat baharu serta memartabatkan sukan karom di Sabah.

Sepanjang pertandingan, peserta berentap dalam dua kategori utama iaitu Winner Pool dan Loser Pool yang menyaksikan persaingan sengit serta semangat kesukanan tinggi.

Dalam kategori Winner Pool, pasangan Red Eagle dari Kedah dan Kuala Lumpur, Semenanjung Malaysia yang diwakili Mohamad Zamri Harun dan Sharifah Noor Diyana Syed Mahzir muncul juara.

Tempat kedua menjadi milik pasangan Sekayan Teriak 3 dari Kampung Pengalat Besar, Papar, menerusi gandingan Muhamad Nazri Omar dan Jumat Nordin

Tempat ketiga bersama pula disandang Sahabat Carrom 2 dari Kampung Rampaian, Menggatal, menerusi gandingan Mohd Afizul Alidin dan Azuan Azman serta MMCC 3 dari Selangor yang diwakili Mohd Rosmadi Naiwi dan Noor Kamarulzaman Amin.

Bagi kategori Loser Pool, CFP 5 dari Carrom Fighter Pimping, Membakut yang diwakili Al Amirul Tahir dan Muhd Dhaiyul Dizwhar Zakhwan muncul juara.

Naib juara menjadi milik CFP 10, juga dari Carrom Fighter Pimping, Membakut menerusi gandingan Awg Fadhil Ahmad Ag Kamis dan Al Imran Tahir.

Tempat ketiga bersama pula disandang Tuaran DC 17 dari Tuaran Double Carrom Club, Tuaran yang diwakili Azman Anjang dan Mohd Zainie Adil serta Bro Cart 5 dari Tanjung Aru, Kota Kinabalu menerusi gandingan Muhammad Dzil Ikram Muhamat Ali dan Muhamat Ali Arbi.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah ungguli bola sepak wanita, rangkul tiga kejuaraan LWN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular