HomeIsu tempatan34 pelajar UMS sertai program pemerkasaan kepimpinan belia

34 pelajar UMS sertai program pemerkasaan kepimpinan belia

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Seramai 34 pelajar Program Psikologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Pemerkasaan Kepimpinan Belia dalam Komuniti bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan serta keupayaan mereka berinteraksi dan menyelesaikan masalah dalam komuniti.

Program bertemakan ‘Youth Rise: Lead and Inspire’ itu menggunakan pendekatan psikologi, sains dan teknologi menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada peserta menguji kebolehan memimpin, membuat keputusan dan bekerjasama dalam kumpulan.

Penyelaras program, Profesor Madya Dr Getrude Cosmas berkata, penganjuran itu bertujuan memupuk nilai serta kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia, termasuk komunikasi berkesan, keyakinan diri, pemikiran kreatif dan kritis.

Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bagi kursus PY30503, Isu-isu dalam Belia dan Komuniti.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi sebenar menerusi penglibatan bersama komuniti,” katanya.

Menurutnya, peserta turut didedahkan kepada tiga pendekatan utama menerusi aktiviti berkumpulan yang dirangka khusus untuk menguji keupayaan mereka menghadapi cabaran dalam situasi berbeza.

Antaranya aktiviti ‘Project X: Red Code’ berteraskan teknologi yang membahagikan peserta kepada enam kumpulan, dengan setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua bagi menyelesaikan tugasan di beberapa stesen.

Aktiviti itu menguji kemahiran komunikasi dan kerjasama berpasukan, selain keupayaan ketua kumpulan mengurus ahli serta memastikan tugasan diselesaikan mengikut arahan.

Bagi pendekatan psikologi, peserta diminta menghasilkan projek menggunakan bahan kitar semula yang memerlukan mereka merancang strategi dan menyesuaikan tindakan apabila menerima arahan baharu daripada fasilitator.

“Cabaran itu menguji keupayaan pemimpin dan ahli kumpulan menyesuaikan perancangan, menangani perubahan serta membuat keputusan dalam situasi tidak dijangka,” katanya.

Pendekatan sains pula diterapkan menerusi aktiviti ‘Water Crisis: Purple Code’ yang menggunakan ekstrak kubis ungu, soda dan cuka untuk menggambarkan perubahan keadaan air dalam simulasi krisis pencemaran.

Peserta perlu berbincang dan mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menangani situasi berkenaan, sekali gus memupuk kesedaran mengenai kepentingan membuat keputusan secara bersama demi keselamatan komuniti.

Selain aktiviti praktikal, program itu turut menampilkan sesi perkongsian belia bertajuk ‘Kepimpinan Belia: Cabaran dan Inspirasi’ bagi memberikan pendedahan mengenai cabaran serta kepentingan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Program itu merupakan kerjasama Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, TVETMARA Kota Kinabalu, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, U-Science UMS serta Program Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS.

Majlis penutupan program disempurnakan Pengarah TVETMARA Kota Kinabalu, Haji Abdul Munap Tahir.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Akademik), Ts Hasrun Mohd Hasan; Penyelaras Program Kerohanian Peringkat TVETMARA, Susan A Anjemeh dan Pengarah Program, Aina Shafinaz Raimi.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UMS diseru pelihara kemudahan, jaga nama baik universiti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular