KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat keseluruhan 32.84 kilogram.
Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membebaskan Yap Kai tanpa memanggilnya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam penghakimannya, mahkamah antara lain mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai jagaan fizikal atau kawalan terhadap dadah yang terlibat dalam kedua-dua pertuduhan.
Pihak pendakwaan memanggil seramai 18 orang saksi semasa perbicaraan.
Mengikut pertuduhan pertama, Yap didakwa mengedar 1,279.93 gram methamphetamine antara jam 12.12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 28 Julai 2022 di sebuah rumah di Taman Manikar, di sini.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar 31,562.3 gram dadah sama di lokasi berkenaan antara jam 1 hingga 2 petang pada tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Syazwani Zawawi, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.



