HomeUtamaUiTM Tawau perlu dipertahankan demi masa depan pendidikan anak Pantai Timur –...

UiTM Tawau perlu dipertahankan demi masa depan pendidikan anak Pantai Timur – Nizam

Read Time:1 Minute, 49 Second

TAWAU: Kewujudan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau perlu dipertahankan bagi memastikan anak-anak di Pantai Timur Sabah terus mempunyai akses kepada peluang pendidikan tinggi tanpa dibebani kos tambahan berpindah ke daerah atau negeri lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kampus yang mula beroperasi pada 1996 itu sudah sekian lama memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan pendidikan tinggi, khususnya kepada golongan Bumiputera di kawasan berkenaan.

Menurutnya, manfaat kewujudan UiTM Tawau bukan hanya dirasai penduduk daerah itu, malah turut meliputi pelajar dari Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya.

Nizam

Katanya, kewujudan institusi pendidikan tinggi berhampiran tempat tinggal memberi peluang kepada pelajar tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos perjalanan, penginapan dan sara hidup yang lebih tinggi di tempat lain.

“Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, kewujudan kampus seperti UiTM Tawau membawa makna yang cukup besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyuarakan pendirian supaya UiTM Tawau dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya susulan cadangan rasionalisasi operasi yang sedang dikaji Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Nizam berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan memberi jaminan kampus berkenaan tidak akan ditutup, aspek identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pengajian perlu terus dipertahankan.

Menurutnya, mengekalkan bangunan kampus untuk digunakan oleh institusi pendidikan lain tidak semestinya menjamin kesinambungan peranan asal UiTM Tawau dalam menyediakan pendidikan tinggi kepada masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau berharap sebarang keputusan berkaitan masa depan kampus berkenaan turut mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni dan masyarakat setempat.

Beliau turut berpandangan UiTM Tawau masih mempunyai potensi untuk diperkukuh menerusi penawaran program pengajian yang lebih pelbagai, bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi dan industri di Pantai Timur Sabah.

Katanya, usaha generasi terdahulu dalam memperjuangkan kewujudan kampus itu perlu dihargai dengan memastikan kemudahan pendidikan tinggi berkenaan terus dipelihara demi kepentingan generasi akan datang.

“Kita mahu memperluas peluang pendidikan tinggi untuk anak-anak Tawau. Institusi pendidikan baharu sepatutnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau,” katanya.

Nizam menegaskan pendiriannya bahawa UiTM Tawau perlu dikekalkan, diperkukuh dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Adau Janang Gayuh wadah pelihara warisan dan identiti masyarakat Bisaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular