RANAU: Penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran insaniah, keyakinan diri dan keupayaan memimpin.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, aktiviti kokurikulum menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengenali potensi diri, mengembangkan bakat serta membina kemahiran yang tidak semestinya diperoleh menerusi pembelajaran di dalam bilik darjah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, penyertaan dalam sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan disiplin, tanggungjawab serta kerjasama dalam mencapai sesuatu matlamat.
Menurutnya, pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti berkenaan juga menjadi asas penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda supaya lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan.

“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai jati diri, berakhlak mulia, berani menghadapi cabaran dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kokurikulum SMK Mat Salleh, Ranau di Dewan Perdana sekolah berkenaan, di sini pada Khamis.
Masidi berkata, Sabah memerlukan generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan diri untuk memainkan peranan dalam pembangunan negeri serta negara.
Katanya, pembentukan generasi berkualiti perlu bermula sejak di bangku sekolah dengan memberi penekanan terhadap pembangunan potensi pelajar secara menyeluruh.
Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha, pengorbanan, latihan, disiplin dan kesungguhan yang berterusan.
Sehubungan itu, beliau berharap pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, selain berani meneroka peluang baharu bagi meningkatkan keupayaan dan potensi masing-masing.
Masidi turut menghargai komitmen guru penasihat dan jurulatih kokurikulum yang memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar serta memastikan bakat mereka dapat dikembangkan secara berterusan.



